Walaupun dari satu segi penulis menganggap itu hak UMNO bagi menghormati kehendak ahli-ahli yang dikhianati tetapi dari segi lain pula, ia tidak sepatutnya sampai pada tahap itu. Kalaulah Ahli Parlimen dan ADUN berkenaan mempunyai maruah politik, mereka seharusnya tidak perlu menunggu sehingga UMNO bertindak.

Oleh kerana sudah mengisytiharkan keluar dari parti yang meletakkan mereka sebagai wakil rakyat maka mereka secara moralnya tidak berhak untuk menikmati apa-apa keistimewaan yang diraih hasil sokongan dan bantuan ahli serta penyokong UMNO.

Tidak payahlah memberi pelbagai alasan ketika meninggalkan UMNO dan melakukan pelbagai helah untuk terus menikmati kedudukan sebagai wakil rakyat yang diperolehi melalui parti tersebut. Walaupun dalam politik tiada musuh dan kawan yang kekal serta pendirian mungkin boleh berubah bila-bila masa mengikut kehendak politik peribadi, tetapi belajarlah untuk memahami apa itu maruah politik.

Serahlah kembali mandat kepada rakyat, biarlah mereka memilih wakil rakyat yang berprinsip dan tidak mengkhianati undi yang mereka berikan. Janganlah hanya bersama dengan UMNO ketika senang dan apabila UMNO berada dalam kesusahan ia ditinggalkan begitu sahaja sedangkan UMNOlah yang bertanggungjawab meletakkan mereka sebagai wakil rakyat.

Justeru tidak perlulah memberi banyak helah mahupun alasan. Letaklah jawatan dan berundurlah secara hormat. Serah kembali kerusi yang dimenangi untuk ditentukan rakyat terutamanya di kerusi yang dianggap kubu kuat UMNO.

Kenapa mahu terus mahu bergelar `Yang Berhormat’ sedangkan mereka mengetahui sudah tidak layak memegang gelaran tersebut kerana parti yang memungkinkan mereka digelar demikian telah ditinggalkan?

Atas sebab itulah apabila seseorang itu dianggap hebat dan bersih ia bukanlah berkaitan soal perkhidmatan yang diberikan ketika berada dalam parti atau kerajaan sahaja tetapi sejauh mana ia mempunyai moral politik bersih dan hebat untuk melakukan tindakan yang betul apabila sudah meninggalkan parti yang disertai.

Kesimpulannya, tidak perlulah menunggu proses undang-undang untuk mengosongkan kerusi, lakukan secara bermaruah. Janganlah berhujah tiada undang-undang boleh menggugurkan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat kalau sekadar meninggalkan parti, tetapi dari moral politik jika mereka mahu menjamah juga keistimewaan melalui `sebuah pembelotan’, silakan sahaja. Sampai masa rakyat pasti menghukum. - UTUSAN ONLINE