Menerusi kisah itu, Majnun yang terlalu mengasihi Laila akhirnya ditemui mati di kubur Laila setelah mendapat tahu kekasihnya itu telah pun meninggal dunia.

Dalam situasi politik UMNO, ketika pemimpinnya ghairah bercerita mengenai betapa pentingnya UMNO untuk kembali berkuasa sewajarnya kisah Laila dan Majnun itu diteliti untuk dijadikan pengajaran.

Apa tindakan Majnun selepas mendapat tahu Laila dikahwinkan dengan lelaki lain? Majnun yang sepatutnya berjuang demi mendapatkan cinta Laila sebaliknya melarikan diri ke dalam hutan.

Dia tidak melakukan apa-apa sebaliknya hanya meratapi nasib sehingga mati.

Maka mengambil iktibar daripada kisah Laila Majnun itu, UMNO tidak lagi boleh berperwatakan seperti Majnun yang hanya bersuara bangkit namun tidak melakukan apa-apa lonjakan perubahan untuk kembali berada di kerusi pemerintah.

UMNO seperti yang dilaung-laungkan bermula selepas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan sehinggalah disebut oleh tiga sayap pergerakan itu perlu bangkit semula dengan cara yang terhormat.

Parti terbesar orang Melayu yang kini mempunyai jumlah keahlian menjangkau tiga juta orang tidaklah terlalu lemah, sokongan ahli akar umbi ada cuma pemimpinnya perlu tampil tangkas senada menjawab isu-isu melibatkan rakyat.

Seeloknya jawablah isu itu dengan segera tanpa membiarkan rakyat tertanya-tanya di mana pemimpin parti keramat Melayu itu ketika hak orang Melayu terus diperlekehkan.

Setiap hari, ada sahaja isu rakyat terutama melibatkan soal ekonomi, agama dan ketidaktentuan nasib orang Melayu pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang boleh dijadikan ‘bola tanggung’ untuk dilibas kembali kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Empat bulan telah berlalu selepas PRU-14, diamnya Presiden parti seperti yang Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi katakan kelmarin adalah emas dan tindakan diambil beliau itu seperti berlian nampak kurang sesuai untuk dipraktikkan.

Lupakah pemimpin UMNO, dahulu kerana terlalu diam dan agak terlambat dalam menjawab serangan bertalu-talu PH, UMNO akhirnya tumbang.

Kini adalah waktu tepat untuk bangkit dengan tindakan selaras dengan semangat yang ditiupkan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018, jangan biarkan semangat bangkit sekadar berbunyi gah namun akhirnya terkubur di Dewan Merdeka. - UTUSAN ONLINE