Kerajaan Malaysia telah berusaha sebaik mungkin dalam memastikan negara tercinta ini mempunyai satu identiti kebangsaan seperti mewujudkan Rukun Negara tetapi usaha ini boleh dikatakan gagal.

Selain itu, kerajaan telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi usaha berkenaan turut gagal kerana kebanyakan syarikat besar di Malaysia menggunakan bahasa berlainan apabila berkomunikasi.

Apakah punca kegagalan usaha-usaha tersebut? Kenapakah Indonesia dapat melakukannya? Penulis mengakui bahawa Indonesia telah berjaya mewujudkan satu identiti kebangsaan dengan berbekalkan dua hujah iaitu semua rakyat republik itu berpegang kepada Pancasila dan menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa utama dalam pertuturan.

Antara langkah yang dilakukan oleh Indonesia adalah mewujudkan satu aliran sekolah kebangsaan supaya pergaulan antara kaum dapat dilakukan dengan efektif dan setiap rakyat Indonesia melalui sistem pendidikan sama. Akhirnya, republik itu telah berjaya mewujudkan integrasi antara kaum seperti apa yang dapat dilihat sekarang apabila rakyat berketurunan Melayu dan Cina fasih bertutur bahasa Indonesia.

Penulis berpendapat bahawa antara punca kegagalan di Malaysia adalah kerana ahli politik dalam pertuturan seharian lebih gemar berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Ini berbeza dengan golongan atasan di Indonesia, kerana mereka sering menggunakan bahasa Indonesia dalam perbualan seharian melainkan melibatkan orang luar.

Pembentukan satu identiti amat penting kerana ia boleh menyumbang kepada kestabilan sosial dan politik.

Apakah kita sudah terlambat dalam mencapai cita-cita ini? Penulis berpendapat Malaysia masih ada peluang dengan syarat dihapuskan polisi berdasarkan kaum terutama melibatkan ekonomi dan pendidikan.

Perkara yang perlu diberikan fokus adalah polisi berasaskan keperluan seperti kuota kemasukan matrikulasi dan universiti awam sebanyak 80 peratus kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan 20 peratus kepada golongan berpendapatan sederhana (M40).

Pembentukan Sekolah Wawasan mesti dijalankan dengan segera. Semua rakyat Malaysia mesti melalui satu sistem pendidikan yang sama untuk memperkukuhkan integrasi antara kaum sejak muda. Selain itu, penambahbaikan terhadap Rukun Negara hendaklah dilakukan agar lebih menyeluruh dan melibatkan pelbagai kaum di Malaysia.

AIMAN WAN ALIAS

Kuala Lumpur