Namun berita paling ditakuti akhirnya diterima oleh semua pihak pada 13 Ogos lalu dengan penemuan mayat Nora Anne hanya 2.5 kilometer (km) dari resort tersebut. Mayatnya ditemui berhampiran anak sungai kawasan berlurah oleh sukarelawan pendaki yang membantu usaha menyelamat dan mencarinya. Berita penemuan mengejutkan banyak pihak terutama keluarga mangsa termasuklah kerajaan Ireland yang menghantar pasukan penyelamat dalam misi pencarian.

Pun begitu, sebenarnya usaha mencari Nora Anne yang mengambil masa selama 10 hari itu berjaya membuka mata pelbagai pihak. Tidak terbalas jasa dan pengorbanan pegawai dan anggota badan beruniform yang telah sama-sama bertungkus lumus berusaha, mencurahkan keringat dan masa dalam misi pencarian tersebut.

Seramai 348 anggota dari pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komando 69, unit anjing pengesan K9, pasukan Senoi Praq, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, penduduk Orang Asli dan sukarelawan terlibat dalam misi ini. Apa tidaknya, mereka terpaksa melupakan sambutan Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 11 Ogos lalu.

Mereka inilah wira tidak didendang. Segala penat lelah merentas hutan belantara sejauh enam kilometer radius dalam keadaan cuaca hujan dan basah turut menjadikan pencarian lebih mencabar. Selain usaha fizikal, ada juga yang ingin membantu mencari Nora Anne menggunakan kaedah tradisional seperti yang dilakukan oleh penduduk tempatan termasuk Orang Asli di kawasan tersebut.

Walaupun hanya 384 orang terlibat tidak dapat merayakan Hari Raya Aidiladha, sebenarnya ahli keluarga pegawai dan anggota turut sama-sama berkorban. Secara purata, jika seorang pegawai atau anggota mempunyai empat ahli keluarga, ini menjadikan individu yang turut sama berkorban mencecah 1,500 orang.

Saat kita sedang bercuti melayan kerenah anak-anak di samping berehat, semua pegawai dan anggota inilah yang benar-benar berkorban dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara ini. Kita patut berbangga kerana tugas dan cinta kepada negara terus menyemarakkan semangat juang mereka. Marilah sama-sama menghargai mereka kerana tanpa mereka, siapalah kita.

MUHAMMAD ASHRAF FAUZI

Pensyarah