Pada pandangan peribadi saya, ia wajar dilaksanakan. Ini kerana sekiranya kita ingin mempelajari sesuatu ilmu baharu, pastinya rujukan buku dari negara luar amatlah berguna. Untuk memahami isi kandungan buku tersebut, semestinya pembaca perlu bijak mentafsir dan mahir dalam bahasa Inggeris.

Pelaksanaan semula PPSMI sedikit sebanyak akan mengganggu emosi murid-murid pada permulaannya. Mereka mungkin akan berasa sedikit tidak selesa pada awal pengajaran dan pembelajaran. Akan tetapi, pastinya mereka akan terbiasa dengan terma-terma yang sering disebut oleh guru mereka jika ia diulang setiap hari dan pastinya mereka akan menerima perubahan tersebut.

Saya percaya, PPSMI tidak akan mengganggu silibus subjek Sains mahupun Matematik. Jika dilihat, banyak kelebihan yang pelajar akan dapat sekiranya dilaksanakan di peringkat sekolah. Sebagai contoh untuk subjek Sains, pelaksanaannya amatlah berguna buat bakal-bakal doktor yang akan meneruskan pengajian ilmu Sains dan Biologi yang lebih mendalam. Sekiranya bahasa Melayu diajar ketika di sekolah, sudah pasti akan menyukarkan pelajar sewaktu di universiti kelak. Mereka perlu belajar terma-terma baharu yang sangat bercanggah antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Bagi subjek Matematik pula, jika di universiti awam, ia bagaikan satu subjek wajib diambil oleh sesetengah kursus. Jika bahasa Melayu yang diajar ketika di sekolah, sudah pasti pelajar berhadapan masalah untuk memahami terma-terma dalam bahasa Inggeris. Tetapi sekiranya PPSMI dilaksanakan ketika mereka di peringkat sekolah, ia tidak menjadi masalah lagi.

Pengajaran dan pembelajaran di universiti juga lebih menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Amatlah wajar bagi setiap pelajar untuk mengetahui bahasa Inggeris sebelum mereka melangkah ke universiti. Hampir keseluruhan buku nota dan rujukan yang diguna pakai dalam bahasa Inggeris.

Jika dilihat pada masa sekarang, bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris bagaikan sudah menjadi satu kriteria penting kepada graduan untuk mendapat kerja. Majikan lebih mengutamakan calon yang mahir berbahasa Inggeris untuk diambil bekerja. Ini perlu bagi memastikan mereka peka dan yakin ketika berurusan dengan klien dari dalam mahupun luar negara.

Pelaksanaan PPSMI pastinya membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris. Mahu atau tidak, bahasa Inggeris tetap perlu dipelajari bagi memastikan masyarakat Melayu tidak ketinggalan.

RUSNANI MOHAMAD KHALID
UiTM Johor