Kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) pada hari ini dilihat lebih cenderung untuk melatih dan berpusatkan kepada pelajar. Pendidik merupakan pemudah cara kepada pelajar dalam menjalankan aktiviti di dalam atau luar kelas.

Pendidik perlu mahir dengan teknologi terkini dan mengaplikasikan teknologi sewaktu mengendalikan pelajar di dalam kelas. Terdapat pelbagai aplikasi yang telah dibangunkan untuk tujuan P&P ini.

Pendidik boleh menggunakan Flipgrid, Blendspace, Padlet, Skype, WhatsApp, Telegram dan Kahoot! untuk tujuan P&P. Ini merupakan antara aplikasi popular terkini. Pendidik tidak perlu membatalkan kelas andai berlakunya hal kecemasan kerana aplikasi ini membenarkan mereka meneruskan P&P tanpa perlu berada di dalam kelas.

Malah penglibatan pelajar semasa sesi perbincangan melalui platform itu merupakan kaedah P&P yang aktif. Ini kerana pelajar boleh berinteraksi dan berbincang sesama sendiri walaupun tanpa bersua muka antara satu sama lain.

Selain penggunaan teknologi serba canggih ini, persekitaran yang kondusif dan tidak terlalu sesak juga memainkan peranan penting untuk mendapatkan kaedah P&P yang efisien dalam kalangan pendidik dan pelajar. Pendidik perlulah menghormati hak pelajar dan sentiasa menggalakkan mereka untuk terlibat secara aktif dalam semua aktiviti P&P yang dijalankan.

Pembelajaran secara kolaboratif juga mampu meningkatkan kefahaman pelajar kerana kaedah ini menekankan penglibatan secara sosial dan intelektual. Pelajar akan lebih berani dalam menyampaikan idea mereka. Pendidik pula hanya bertindak sebagai fasilitator sepanjang perbincangan dijalankan. Justeru gunakanlah pelbagai cara demi mewujudkan suasana P&P yang cekap dan efektif.

ZAHARI ABU BAKAR

Pensyarah Kanan UiTM