Pemimpin negara dan masyarakat khususnya yang terlibat dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran perlu menghayati ucapan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin bertajuk Polisi Ekonomi Baharu Untuk Malaysia Baharu dalam ‘International Conference on Emerging Issues in Public Policy: Global Trends and Projections (IPP) 2019’ di Institut Dasar Awam dan Pengurusan, Universiti Malaysia (UM) semalam.

Malaysia telah melaksanakan dasar industrialisasi sejak 1960an. Di peringkat permulaannya industri-industri yang digalakkan adalah di peringkat pengeluaran barangan pengganti import atau ‘import substitution’.

Selepas itu kita memberi penekanan kepada industri yang mengeluarkan barangan eksport. Kita perlu berbangga kerana eksport barangan perkilangan telah meningkat dengan pesat sejak dulu hingga kini.

Langkah kerajaan memberi penekanan kepada industrialisasi telah membawa manfaat yang sangat bermakna kepada ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat. Kalau dahulu sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menjadi tulang belakang eksport dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), sekarang ini sektor tersebut menduduki tempat kedua. Sektor perkilangan sekarang ini merupakan sektor yang terbesar dari segi jumlah nilai eksport dan juga KDNK negara.

Sekiranya kita teragak-agak melaksanakan dasar industrialisasi, kemungkinan besar kita masih lagi bergantung sangat kepada naik-turun permintaan pasaran antarabangsa terhadap barangan utama dan barangan pertanian.

Selain daripada itu masalah yang kita hadapi ialah pengangguran. Sektor pertanian tidak begitu banyak mewujudkan peluang pekerjaan. Perkilangan sebaliknya memerlukan banyak pekerja yang mahir dan tidak mahir. Kadang-kadang sebuah kilang yang terletak di atas 10 ekar tanah memerlukan 1,000 orang pekerja.

Sebaliknya, ladang 1,000 ekar mungkin memerlukan hanya 500 orang pekerja sahaja. Justeru itu untuk mengatasi masalah pengangguran, industri perkilangan amatlah penting.

Menyentuh tentang industri perkilangan ini, kita harus sedar bahawa asas industri ini adalah tidak begitu luas. Setakat ini kebanyakan jumlah eksport barangan perkilangan terdiri daripada barangan industri elektrik dan elektronik serta barangan industri tekstil. Sebagai satu penekanan, kerajaan perlulah terus-menerus menggalakkan berbagai industri lain yang belum wujud atau belum berkembang dalam negara kita.

Di samping itu, penekanan juga hendaklah diberi kepada industri pembekalan komponen untuk industri yang sedia ada. Dengan adanya komponen tempatan yang berpatutan harganya, pertumbuhan industri barangan siap akan menjadi lebih pesat. Komponen juga boleh diekspot dan menambahkan lagi pertukaran asing bagi negara kita asalkan kualiti baik berbanding dengan kos.

Ini tidaklah bermakna kerajaan tidak akan atau tidak perlu memberi galakan dan kemudahan bagi industri-industri perkilangan yang telah bertapak dengan kuatnya seperti elektrik dan elektronik serta industri tekstil. Galakan itu tetap akan diteruskan dan dikembangkan.

Tindakan dan dasar kerajaan sahaja tidak mencukupi untuk menarik pelaburan asing. Rakyat, khususnya para pekerja serta kesatuan-kesatuan pekerja dan gerakan belia berpersatuan, perlu memainkan peranan untuk mewujudkan iklim yang baik bagi pelaburan oleh para pelabur tempatan dan asing. Golongan belia perlu dibimbing dan dididik untuk membudayakan kuat bekerja dan kuat berusaha.

Kita harus menerima hakikat bahawa para pelabur di mana-mana juga mereka melabur, didorong oleh hasrat mencari keuntungan. Mereka tidak melabur kerana ingin berbakti kepada masyarakat negara asing, walaupun di zaman ini para pelabur lebih bertanggungjawab dan sedar akan peranan pihak lain dalam menjayakan pelaburan mereka. Justeru itu kita perlu berhati-hati mengimbangkan kepentingan kita dengan kepentingan mereka.

Kita juga harus ingat bahawa banyak negara yang mahukan pelaburan dan dengan itu persaingan antara negara-negara yang berminat dengan pelaburan asing adalah hebat.

Jika tindakan-tindakan kita menidakkan atau mengurangkan kesan segala insentif kerajaan, para pelabur akan melabur di negara-negara lain. Sementara kita tidak mahu menjual tenaga dan maruah kita dengan murah, kita tidak boleh terlalu sombong dan menuntut bayaran yang terlalu tinggi bagi tenaga kita.

Sepertimana juga kita tidak suka dilayan dengan buruk oleh orang lain, janganlah kita pula memberi khidmat yang tidak baik kepada mereka yang memberi peluang pekerjaan kepada kita. Kesabaran dan kesederhanaan harus menjadi sebahagian daripada sifat kita terhadap para pelabur dan pelaburan asing.

Bagi beberapa tahun yang akan datang, kita memerlukan pelaburan asing untuk membangunkan dan menyuburkan ekonomi negara kita. Adalah menjadi harapan kita bahawa ahli-ahli teknikal dan teknologis dan para pengurus tempatan yang bekerja dalam kilang-kilang asing akan mempelajari teknologi dan selok-belok perusahaan dan perniagaan sehingga dapat mengadakan perusahaan sendiri.

Tidak lupa kepada golongan belia berkemahiran yang melalui pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) hendaklah lebih kreatif dan inovatif, selari dengan perubahan teknologi hari ini. Pada masa sama, penyedia latihan kemahiran hendaklah juga memastikan tenaga pengajar telah melalui proses ‘upskilling & reskilling’ yang secukupnya dan tidak hanya berbangga dengan sejarah teknologi yang pernah mereka lalui dan pelajari. Jangan ajar pelajar kemahiran sejarah teknologi sebaliknya meneroka teknologi masa depan dan mencipta pekerjaan baru.

Lebih cepat kita belajar, lebih cepat lagi kita dapat mengurangkan pergantungan kita kepada pelaburan asing. Bukan menjadi hasrat Kerajaan untuk selama-lamanya bergantung kepada orang lain. Tetapi, selagi kita tidak terdaya mengadakan industri kita sendiri, selama itulah kita terpaksa bergantung kepada para pelabur dan para pengusaha asing. Demi maruah dan kedaulatan kita, kita harus mempercepatkan lagi proses penguasaan kecekapan-kecekapan yang diperlukan.

MOHAMMAD RIZAN HASSAN

Setiausaha Agung

Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.