Maka kehadiran tulisan Jawi adalah menjadi titik tolak pemisahan dari zaman gelap jahiliah yang menyelubungi bangsa Melayu ke zaman terang-benderang, sama ada dari segi agama mahu pun kebudayaan dan tulisan ini menjadi identiti bangsa yang menganut agama Islam.

Orang Melayu sejak kecil lagi telah mengenali tulisan ini melalui pengajian al-Quran berbanding tulisan rumi yang dibawa penjajah Barat pada abad ke-15 Masihi.

TIMBALAN Mufti Perak, Zamri Hashim. - UTUSAN ONLINE
TIMBALAN Mufti Perak, Zamri Hashim. - UTUSAN ONLINE 

Bagaimanapun, tulisan rumi telah diberi nilai ekonomi oleh penjajah yang datang silih berganti. Akhirnya penggunaan tulisan rumi lebih dominan bahkan ada anak Melayu sendiri yang tidak tahu membaca dan menulis tulisan Jawi.

Warisan ini telah kukuh bertapak sejak abad ke-14 Masihi atau sebelumnya. Makam-makam diraja Melayu-Islam yang terdapat di Pasai, Acheh, Daya dan Geresik (Jaya) yang diperbuat daripada batu pualam yang bertulisan huruf-huruf Arab jelas membuktikan hakikat ini.

Batu bersurat yang bertarikh tahun 702H/1303M yang menggunakan tulisan Jawi sepenuhnya itu menunjukkan bahawa tulisan Jawi berusia hampir 700 tahun.

Tulisan rumi mula digunakan seiring dengan tulisan Jawi apabila penjajah Eropah mula datang ke Tanah Melayu.

Kemudian, ada usaha gigih dibuat ahli-ahli bahasa untuk mengetepikan tulisan Jawi sekali gus menjadikan tulisan rumi sebagai tulisan rasmi negara.

Di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia), Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) telah menghantar satu memorandum kepada kerajaan bertarikh 27 Mac 1954 dengan mengemukakan pelbagai alasan bagi menunjukkan kelebihan tulisan Rumi dan tulisan Jawi sebagai media persuratan Melayu.

Bermulalah episod tergugatnya kedudukan tulisan Jawi sebagai tulisan utama di Kepulauan Melayu dan disambut dengan perisytiharan ‘Akta Bahasa Kebangsaan’ pada tahun 1963.

Walaupun secara tersurat akta berkenaan tidak menghalang penggunaan tulisan Jawi namun ia tetap memberi kesan terhadap penggunaan tulisan Jawi dan perkembangannya di mana orang Melayu sudah mula meninggalkan tulisan Jawi dan semakin selesa menguasai tulisan rumi.

Walaupun beberapa usaha dilakukan untuk mengembalikan kedudukan tulisan Jawi ke tempat yang selayaknya namun sehingga kini ia tidak menampakkan kejayaan yang memberangsangkan.

Sudah tidak ada lagi surat khabar Jawi di Malaysia sekarang dan tulisan Jawi terus terpinggir daripada arus perdana yang sedikit demi sedikit telah mula mengarus perdanakan tulisan yang digunakan orang-orang berketurunan Cina dan India.

Lihatlah sekecil-kecil contoh seperti interaksi kita dengan mesin pengeluaran wang (ATM), tiada lagi pilihan tulisan Jawi di dalam skrin mesin berkenaan.

Tulisan Jawi sangat penting di dalam penyelidikan mengenai kesusasteraan, kebudayaan dan masyarakat Melayu khasnya, bahkan agama Islam dan perkembangannya di alam Melayu amnya memerlukan pengetahuan tentang tulisan Jawi.

Ini kerana terdapat manuskrip-manuskrip lama Melayu, sama ada yang telah diteroka dan dirumikan atau yang baru diteroka dan dirumikan, ataupun yang masih belum memaparkan berbagai-bagai aspek berkaitan kebudayaan dan tamadun Melayu dan agama Islam, di mana semuanya dalam tulisan Jawi.

Walaupun sistem tulisan Jawi yang mewarisi segala ciri tulisan Arab ini jauh terlepas daripada peraturan yang mendasari tulisan Arab, namun ia tetap ada asas sistem tulisan Arab sehingga orang yang menguasai tulisan Jawi lebih mudah belajar bahasa Arab dan menyenangkannya mempelajari al-Quran.

Sejarah tulisan rumi di Nusantara bermula dengan kedatangan Portugis ke Melaka pada tahun 1511 Masihi yang sekali gus pula membawa agama Kristian ke rantau ini.

Menurut S M Naquib al-Attas di dalam bukunya Islam dan Sekularisme, penerimaan tulisan rumi sebagai skrip tulisan Melayu adalah suatu kejayaan proses Kristianisasi dan sekularisasi terhadap penduduk Alam Melayu, iaitu seperti yang berlaku di Malaysia dan Indonesia.

Namun Alhamdulillah, Allah masih menyayangi umat ini kerana masih mengekalkan umat ini di dalam akidah yang diredaiNya.

Namun kesan meninggalkan tulisan Jawi akan lebih dirasai apabila ia mula memberi kesan kepada jauhnya umat ini daripada jati diri, sejarah tamadun yang telah dibina satu ketika dahulu, dan semakin tidak menghargai manuskrip yang menyimpan khazanah fakta yang sangat berharga kepada umat ini.

Pelajarilah daripada sejarah moden Turki apabila orang Turki mula dijarakkan dengan tulisan Arab yang rapat dengan sumber langsung al-Quran dan al-hadith maka semakin laju proses sekularisasi.

Sudah ada dalam kalangan umat Islam di Malaysia yang tidak lagi mengenal huruf-huruf Jawi sehingga mengusahakan agar tulisan-tulisan al-Quran dirumikan sehingga Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-24 yang bersidang pada 5-6 Jun 1989 telah membincangkan hukum Penulisan Ayat-Ayat Al-Quran Dengan Huruf Roman.

Muzakarah telah memutuskan bahawa adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada ayat al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran.

Ustaz Zamri Hashim

Timbalan Mufti Perak