Insiden terbaru melibatkan lapan anggota polis yang mengadu tidak sihat selepas terhidu bahan kimia ketika memeriksa 15 tong dipercayai mengandungi sodium sianida di sebuah ladang kelapa sawit di Karak, Khamis lepas (1 Ogos).

Masanya telah tiba untuk pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan unit khas yang bertanggungjawab meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) anggota polis terutamanya mereka yang berada di lapangan.

Berdasarkan statistik polis, secara purata sekurang-kurangnya 32 pegawai dan anggota polis meninggal dunia setiap bulan ketika masih bertugas.

Berdasakan data antara tahun 2010 dan 2014, seramai 1,324 pegawai dan anggota polis maut, manakala 359 yang lain cedera dan terlantar akibat hilang upaya kekal ketika melaksanakan tugasan menjaga keamanan negara.

Kebanyakan kematian berlaku membabitkan kes kemalangan bencana ketika bertugas dan kemalangan ketika dalam perjalanan pergi dan pulang ke lokasi tugasan.

Kewujudan Unit KKP dalam PDRM boleh membantu agensi penguatkuasa tersebut mengurus sistem keselamatan dan kesihatan berkaitan pekerjaan dengan baik agar dapat mengurangkan kadar kematian dan kemalangan dalam kalangan pegawai dan anggota polis setiap tahun.

Merujuk kepada Seksyen 3 (3) dan Seksyen 20 Akta Polis 1967, iaitu berkaitan kewajipan asasi dan perincian tugas anggota PDRM, ia menunjukkan tugasan mereka akan terdedah kepada pelbagai risiko.

Antara risiko yang dihadapi termasuk pendedahan terhadap bahan kimia jika pegawai dan anggota terlibat terlibat di dalam penyiasatan kes pencemaran bahan toksik sepertimana kes yang berlaku di Karak baru-baru ini.

Mereka juga terdedah dengan pelbagai bahan pencemaran lain serta penyakit kerana sering dilihat tidak memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai ketika berada di lapangan.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 turut meletakkan institusi PDRM sebahagian dari sektor yang perlu mematuhi keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Oleh itu, jika kita ingin melihat sektor ini berkembang baik dari sudut pengurusan KKP maka penubuhan Unit KKP menjadi satu keperluan sepertimana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah pun mewujudkan unit ini.

Sehubungan itu, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), sebagai sebuah agensi yang diberikan tanggungjawab untuk meningkatkan tahap KKP dalam negara, bersedia untuk membantu PDRM menubuhkan Unit KKP tersebut dengan menyediakan tenaga pakar dan modul latihan bersesuaian.

Antara lain, warga PDRM perlu diberikan kesedaran mengenai KKP selain mengguna pakai konsep pengenalan bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC).

Ini akan membantu mereka untuk mengenal pasti bahaya dan risiko dan mencari cara untuk mengelak atau mengurangkan kesannya termasuk penggunaan PPE yang sesuai.

TAN SRI LEE LAM THYE

Pengerusi

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)