Kelulusan itu dicapai melalui undian belah bahagian yang menyaksikan 127 Ahli Parlimen menyokong manakala 84 Ahli Parlimen lain menentang.

Berdasarkan jadual yang telah ditetapkan Malaysia dijangka menandatangani TPPA secara rasmi di New Zealand pada 4 Februari ini seperti mana yang dipetik daripada kenyataan Menteri Perdagangan negara tersebut, Todd McClay sebelum ini.

Secara peribadi saya berpandangan TPPA banyak memberi kelebihan kepada negara kita memandangkan saiz Malaysia yang kecil terutama dalam konteks akses pasaran yang lebih luas khususnya di negara bersaiz besar seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Jepun.

Hasil pemerhatian saya, Malaysia sebenarnya mempunyai banyak produk yang berkualiti dihasilkan sendiri oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara kita.

Syarikat-syarikat ini sebenarnya telah pun menembusi pasaran di peringkat global hasil perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara Malaysia dengan negara-negara tertentu seperti Jepun, Pakistan, New Zealand, Turki dan Australia.

Dengan adanya penyertaan Malaysia dalam TPPA sudah tentu akses pasaran akan menjadi lebih luas lagi kerana terdapat negara dalam blok perdagangan ini tidak mempunyai perjanjian FTA dengan kita.

PKS yang mempunyai daya­­ ­saing di peringkat global sudah tentu akan mengambil peluang ini untuk meluaskan lagi pasaran produk-produk keluaran syarikat mereka. Ini satu bab.

Pagi tadi ketika menghantar anak ke sekolah, saya mendengar temubual antara seorang doktor dengan dua orang juruhebah dalam satu stesen radio.

Dalam temu bual tersebut doktor itu ada menyentuh tentang kesan TPPA kepada bidang perubatan. Secara khusus beliau ada menyatakan kebaikan TPPA terhadap proses pemberian ubat-ubatan kepada pesakit.

Kata beliau, sebelum TPPA iaitu pada masa sekarang, penyeliaan pemberian ubat oleh doktor kepada pesakit tidak ada pemantauan rapi terutama ubat generik.

Disebabkan itu, katanya, ada kes harga ubat generik dinaikkan sehingga berlipat kali ganda daripada harga kos. Ini bermakna, pesakit terpaksa membayar harga yang cukup tinggi untuk mendapatkan ubat-ubat generik.

Berbanding dengan pelaksanaan TPPA, pesakit akan dibekalkan dengan ubat paten asli mengikut harga yang ditetapkan sekali gus isu menaikkan harga generik dapat ditangani. Malah saya difahamkan sekiranya ada kenaikan sekalipun dalam bidang perubatan selepas pelaksanaan TPPA, kesannya adalah minimum.

Saya juga difahamkan akses orang ramai terhadap ubat-ubat generik juga tiada masalah apabila tempoh perlindungan paten untuk produk farmaseutikal dalam TPPA tidak akan dipanjangkan sebalik­nya tetap kekal 20 tahun.

Berhubung kebimbangan orang ramai terhadap kesucian Islam dan hak Bumiputera terjejas, kerajaan telah pun memberi jaminan bahawa kedua-dua perkara ini tetap terpelihara seperti mana sekarang.

Bahkan di dalam TPPA kita masih mempunyai jalan keluar sekiranya perjanjian itu benar-benar memberikan kerugian kepada kita iaitu berdasarkan artikel ‘Penarikan Balik’ dalam teks TPPA bab 30. Malaysia dan 11 anggota TPPA lain berhak untuk keluar dari blok perjanjian ini jika kita perlu berbuat demikian.

Cuma saya amat mengharapkan dalam tempoh dua tahun ini iaitu sebelum TPPA dikuatkuasakan pada tahun 2018, kerajaan tidak boleh berhenti daripada terus membuat pertimbangan-pertimbangan tertentu termasuk mendapatkan pandangan pakar-pakar ekonomi supaya TPPA akhirnya memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat dan negara.

Kita sebenarnya tidak boleh ke­tinggalan daripada terus mengambil peluang ini. TPPA adalah peluang terbaik kita untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka masa panjang sekali gus memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat.

Rakan ASEAN kita sendiri iaitu Brunei yang jauh lebih kecil itu pun ada keberanian untuk menyertai blok perdagangan ini dan begitu juga dengan Vietnam. Kita jangan lupa Indonesia, Thailand dan Fi­lipina juga telah menyatakan hasrat untuk menyertai TPPA selepas mereka menyedari faedah yang ditawarkan.

PENYOKONG TPPA

Pandan Indah