Dalam soal memelihara kebersihan, bukan sahaja pengguna perlu bertanggungjawab, aspek penyelenggaraan yang dijalankan oleh kontraktor pembersihan juga perlu diambil berat. Adakah tandas dibersihkan dengan cara yang betul, menggunakan bahan sesuai dan tidak merosakkan kemasan? Adakah pekerja yang mencuci tandas dilatih dan mahir mencuci tandas?

Jawapan kepada soalan di atas bergantung kepada kontraktor pembersihan yang dilantik dan peruntukan disediakan sebenarnya. Sekiranya kontraktor dilantik berdasarkan kepada tawaran harga terendah tanpa menilai latar belakang dan kemampuan kontraktor serta rekod perkhidmatannya, tidak hairan keadaan kebersihan tandas adalah seperti hari ini.

MACC pernah menyuarakan kebimbangan apabila Kementerian Pendidikan memotong peruntukan untuk kerja-kerja pembersihan di sekolah-sekolah. Kita bimbang sekiranya peruntukan disediakan tidak mencukupi untuk menyelenggara kebersihan sekolah dengan baik. Kontraktor dipilih berdasarkan kepada harga terendah akan gagal memberikan perkhidmatan memuaskan.

Akibatnya, lahirlah generasi tidak menghargai kebersihan, tidak hairan dengan persekitaran yang kotor. Sekiranya kita benar-benar inginkan Malaysia yang bersih, indah dan selesa, semua pihak harus memainkan peranan dengan berkesan. Orang awam perlu bersikap, lebih bertanggungjawab dalam memelihara kebersihan khususnya di kawasan awam.

NORUDIN IDRIS

Presiden MACC