Sementara menunggu hasil siasatan, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengambil langkah sesuai dan tidak berkompromi dari segi keselamatan lif di rumah pangsa awam.

Mereka perlu menukar lif yang lama serta telah tamat tempoh hayat selain menyediakan peruntukan mencukupi untuk penyelenggaraan dan mengganti kemudahan tersebut.

Insiden terbaru itu seharusnya menjadi pengajaran kepada semua PBT dan mereka tidak boleh membiarkannya berulang kerana ia mungkin memberi kesan buruk di masa hadapan.

Walaupun tidak melibatkan kematian, kes tersebut amat menakutkan kerana lif berkenaan telah terhempas dari tingkat lima lantas menyebabkan empat mangsa lelaki termasuk kanak-kanak mengalami kecederaan patah kaki manakala mangsa selebihnya mengalami kecederaan bahagian pergelangan kaki.

Pihak bertanggungjawab perlu meningkatkan pemantauan manakala kekerapan penyelenggaraan lif perlu dipertingkatkan agar kemudahan tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik dan tidak menjadi mangsa vandalisme.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar pada Oktober tahun lepas mendedahkan 52 kes kemalangan melibatkan lif dan 33 kes melibatkan eskalator dilaporkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di antara tahun 2012 sehingga September 2018.

Sebanyak enam kematian serta enam kes kecacatan kekal dan 58 kecedaraan dilaporkan dalam tempoh tersebut.

Kebanyakan kes berlaku akibat tahap penyelenggaraan yang lemah, penggunaan yang salah serta vandalisme. Dilaporkan terdapat lebih 60,0000 lif yang telah didaftarkan dengan JKKP di seluruh negara.

Pemaju serta pemilik perumahan bertingkat termasuk pihak berkuasa tempatan perlu memastikan lif yang beroperasi berdaftar dengan JKKP dan diperiksa setiap 15 bulan bagi memperbaharui Sijil Perakuan kelayakan mengguna (CF) kemudahan tersebut.

Syarikat kontraktor penyelenggaraan lif yang dilantik berhadapan dengan tindakan pembatalan dan penggantungan lesen sekiranya terbukti gagal menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Disamping pemeriksaan berkala yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa, semua pihak terbabit perlu mematuhi semua peraturan di bawah garis panduan yang dikeluarkan oleh JKKP.

Garis panduan itu antara lain menetapkan tanggungjawab setiap pihak yang berkepentingan iaitu pihak berkuasa, pemilik lif, pengguna lif serta firma kompeten berdaftar yang dilantik untuk menyelenggara kemudahan tersebut.

Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994, adalah menjadi tannggungjawab pemilik atau pihak pengurusan bangunan untuk memastikan kemudahan seperti lif dan eskalator selamat digunakan.

Ia juga menetapkan kewajiban am bagi pereka bentuk, pengilang, pembekal dan firma kompeten untuk memastikan kelengkapan tersebut adalah selamat untuk digunakan.

Akta Kilang dan Jentera 1967 pula menetapkan hanya individu dan firma yang kompeten dibenarkan membuat kerja-kerja penyelenggaraan bagi kemudahan tersebut.

Selain itu, kemudahan tersebut turut tertakluk di bawah beberapa perundangan lain termasuk Akta Perkhidmatan Bomba 1988, Akta Jalan, Saliran dan Banguna 1974, Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2007.

Semua pihak perlu mengambil langkah proaktif menurut peraturan yang ditetapkan tanpa menunggu berlakunya kemalangan.

Sebagai contoh, pemilik atau pihak pengurusan bangunan perlu memastikan kemudahan tersebut diperiksa dengan kerap manakala kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di dalam dan luar lif bagi memastikan tidak ada pengguna yang terperangkap serta bagi mengatasi vandalisme.

Pengguna juga perlu menggunakan lif secara berhemah dan perlu segera melaporkan kepada pihak pengurusan jika terdapat sebarang kerosakan.

TAN SRI LEE LAM THYE

Aktivis sosial

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.