KERATAN Utusan Malaysia 9 November 2016
KERATAN Utusan Malaysia 9 November 2016

PADA 8 November lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan hospital kerajaan di negara ini sedang berhadapan dengan masalah kekurangan doktor pakar yang kronik dalam pelbagai bidang termasuk neurologi dan kardiologi.

Antara punca masalah itu berlaku, ekoran tindakan kira-kira 150 doktor pakar di hospital kerajaan meletak jawatan setiap tahun sejak enam tahun lalu.

Alasan utama diberikan doktor terbabit ketika membuat keputusan meletakkan jawatan kerana tiada kenaikan pangkat walaupun telah berkhidmat lebih 10 tahun.

Apabila membaca kenyataan beliau, saya berasa lega kerana pihak pemerintah sedar mengenai isu kekurangan doktor pakar yang sudah lama dihadapi rakyat berpendapatan rendah yang bergantung sepenuhnya kepada hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan.

Saya sendiri pernah mengalami pengalaman pahit apabila berurusan di sebuah hospital kerajaan di Selangor setelah menghadapi masalah berkaitan jangkitan pada saluran pernafasan.

Simptom yang ketara daripada penyakit itu adalah tidak dapat bernafas dengan lancar dan sering mengalami sesak nafas terutama ketika cuaca sejuk dan saya juga selalu pitam.

Bayangkan dalam keadaan sedemikian, pihak hospital hanya memberikan tarikh berjumpa doktor pakar dalam tempoh sebulan selepas itu.

Saya percaya pihak hospital berkenaan tiada pilihan ekoran kekurangan doktor pakar sehingga menyebabkan pesakit terpaksa menunggu giliran dalam tempoh lama.

Oleh itu, saya berharap pelbagai langkah segera diambil bagi menangani masalah kekurangan doktor pakar. Pertama, mempercepatkan proses kenaikan pangkat terutama kepada doktor yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang.

Saya menyambut baik pengumuman kerajaan ketika Bajet 2017 untuk mewujudkan lapisan gred baharu iaitu Gred UD56 bagi pegawai perubatan pakar bagi membolehkan lebih ramai doktor naik pangkat.

Kedua, langkah membenarkan pegawai perubatan pakar memberikan khidmat sebagai doktor sambilan (lokum) di hospital swasta perlu diteruskan bagi membolehkan mereka meraih pendapatan tambahan selepas tugas rasmi atau semasa cuti.

Bagaimanapun, syarat-syarat ketat yang dikenakan perlulah dilonggarkan bagi memastikan doktor terbabit tidak beralih terus untuk berkhidmat di sektor swasta.

Ketiga, elaun sebanyak RM200 sejam kepada pakar yang melakukan kes-kes pembedahan pada hari cuti umum untuk mengurangkan masa menunggu pesakit perlulah dinaikkan.

Keempat, mempermudahkan proses pelajar yang telah tamat tempoh penempatan latihan perubatan untuk memilih bidang kepakaran masing-masing.

Jumlah peruntukan biasiswa dan tempat untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana dalam bidang khusus perlulah diperbanyakkan.

Kelima, jika universiti tempatan kekurangan tenaga pengajar berpengalaman terutama di peringkat ijazah sarjana, eloklah lebih banyak program berkembar diadakan dengan institusi pengajian tinggi luar negara.

Dalam perkembangan sama, saya juga berharap kerajaan mempelbagaikan jenis rawatan perubatan alternatif di hospital bagi merawat penyakit.

Sekurang-kurang kaedah rawatan itu dapat meredakan kesakitan pesakit sebelum sampai tarikh temu janji yang telah ditetapkan dengan doktor pakar.

Pada masa sekarang, kaedah perubatan alternatif hanya berasaskan pengetahuan masyarakat kuno seperti akupuntur dari China yang telah diperkenalkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya.

Saya juga difahamkan kaedah rawatan India kuno, ayurveda juga sudah diperkenalkan di Hospital Port Dickson dan Hospital Rehabilitasi Cheras.

Banyak rawatan alternatif berasaskan pengetahuan moden belum diperkenalkan di hospital kerajaan seperti terapi warna dan terapi bunyi.

Kaedah quantum touch iaitu sejenis terapi sentuhan yang diperkenalkan oleh Richard Gordon dari Amerika Syarikat (AS) wajar diperkenalkan.

Satu lagi yang berpotensi adalah biontology iaitu terapi cahaya yang dipelopori pakar dari negara sama, Johan Boswinkel.

 

PESARA KERAJAAN

Rawang, Selangor