Tindakan tersebut dibenarkan dalam Akta GST 2014 yang menyatakan bahawa: “Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk memberi kuasa pembayaran ke Akaun Hasil Disatukan dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan”.

Oleh itu dakwaan wang dirompak atau melanggar undang-undang hanyalah helah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai agenda politik sendiri. Wayang politik tidak bertanggungjawab ini dan memberi imej negatif terhadap pentadbiran, institusi dan tadbir urus negara kita. Ia memberi gambaran seolah-olah pegawai kerajaan tidak bermaruah dan akan menurut keinginan dan kemahuan ketua politik mereka tanpa mengendahkan undang-undang.

Sehubungan itu, kepemimpinan kanan kerajaan PH yang pernah membuat dakwaan sedemikian perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat dan mengakui tuduhan tidak benar itu telah meninggalkan kesan yang teruk sehingga menjejaskan ekonomi negara.

Kepemimpinan kerajaan PH digesa berhenti mencari alasan atas kesilapan yang telah dibuat sebaliknya perlu mengaku sahaja bahawa mereka terlepas pandang peruntukan undang-undang yang ditakrifkan akta berkenaan yang membuktikan tiada pelanggaran undang-undang, seterusnya pentadbiran institusi-institusi negara dibuat secara bersih dan profesional.

Tindakan menuduh tanpa membuat siasatan atau penyelidikan terlebih dahulu telah mencemar nama, institusi dan pentadbiran negara yang sebelum ini dipandang tinggi dan berjaya menarik pelaburan asing, menjaga keyakinan pelabur dan memastikan pertumbuhan ekonomi.

Oleh itu kerajaan PH dan menteri-menterinya disaran lebih bertanggungjawab dan mentadbir negara secara berhemah, sepertimana yang dimandatkan oleh rakyat. Sudah tiba masanya mereka berhenti membuat tuduhan tidak berasas atau membuat kecoh secara berterusan kerana ini semua tidak memanfaatkan rakyat dan negara.

DATUK SERI TI LIAN KER

Naib Presiden MCA