Pelbagai hujah telah diberikan untuk menolak PPSMI sama ada melalui forum, bengkel, debat, seminar, tulisan, surat, buku, memorandum, perarakan dan sebagainya, namun kerajaan nampaknya terus dengan ketetapan untuk melaksanakan PPSMI.

Di pihak pegawai kanan kerajaan sendiri yang pernah terlibat melaksanakan PPSMI, nampaknya tidak kelihatan langsung usaha bersungguh-sungguh untuk menyanggah pelaksanaan semula dasar yang gagal dan buruk ini. Pihak berkenaan sepatutnya memberi hujah kuat akan kegagalan dan keburukan PPSMI.

Janganlah kerana pegawai kanan kerajaan gemar menggunakan bahasa Inggeris, maka mereka tidak dapat membezakan lagi antara kepentingan menguasai bahasa Inggeris melalui kaedah yang betul, dengan sikap mengikut sahaja perintah pihak atasan walaupun jelas salah.

Apalah gunanya pegawai kanan kerajaan dengan ijazah sarjana dan kedoktoran yang berjela-jela serta otak yang bergeliga tetapi tidak sanggup menyatakan kebenaran berlandaskan hukum dan martabat ilmu. Sanggup membutakan mata, hati dan telinga terhadap kemungkaran dasar pendidikan negara yang berpunca daripada kepemimpinan atasan negara.

Jika diteliti dengan betul dan jujur, tugas pegawai kanan kerajaan adalah untuk memberi nasihat yang profesional kepada menteri, bukan menerima arahan menteri yang boleh pergi, bertukar ganti atau kalah setiap lima tahun sekali. Ingatkah kita akan kata-kata ini, kesilapan seorang doktor hanya membunuh seorang pesakit tetapi kesilapan dasar kerajaan bakal membunuh satu generasi.

Dalam pada itu, semua orang bersetuju dan kami pun bersetuju, bahasa Inggeris itu sangat penting. Tapi cara untuk pandai bahasa Inggeris bukanlah dengan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa itu. Agaknya bagaimana cara kita nak pandai berbahasa Korea, Arab, Jepun dan Jerman; dengan belajar sains dan matematik jugakah dalam bahasa tersebut?

Ini bercanggah dengan teori pembelajaran bahasa, pedagogi dan lain-lain. Telah dibuktikan semasa PPSMI dulu, cara itu, bahasa Inggeris tidak mahir, kemahiran Inggeris bertambah cuma empat peratus dan Matematik dan Sains pun ‘hanyut’. Peratus pelajar jurusan sains menurun sehingga lebih 20 peratus, sebab belajar menggunakan bahasa yang asing daripada kebiasaan.

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI

Timbalan Presiden PLM