Terbaharu, drama Bukan Cinta Aku melibatkan watak Riana dan Arjuna menjadi igauan pencinta telenovela tanah air. Kisah yang sarat dengan permainan emosi bagi sepasang kekasih cukup meruntun jiwa penonton. Pada dasarnya, drama mencerminkan cebisan kehidupan moral manusia yang boleh mencorakkan pemikiran setiap insan. Baik buruk jalan penceritaan sesebuah karya perlu diterjemahkan kepada realiti kehidupan.

Pertama, peranan suami dan isteri. Mereka perlu memahami konflik kehidupan masa kini. Terkadang masalah kecil boleh menjadi rumit yang memerlukan perbincangan dua hala setiap pasangan dan perlu sentiasa mempelajari hal kerukunan rumah tangga untuk membina hidup bahagia. Berbalik kepada kisah Riana dan Arjuna, ibu Riana seharusnya berbincang dengan suaminya dan mencari penyelesaian terbaik untuk kehidupan anak mereka. Langkah yang diambil dengan terus memaksa Riana berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintainya telah mendatangkan mudarat kepada pelbagai pihak.

Kedua, peranan ibu bapa. Harus disedari anak-anak semakin membesar dan kelak mempunyai kehidupan mereka sendiri. Sebagai contoh, ibu dan ayah Riana perlu prihatin dengan kehidupannya dan menasihati dengan kaedah yang betul melalui didikan agama.

Ketiga, peranan anak-anak. Ibu bapa perlu dijadikan sebagai bahan rujukan dan teman baik untuk berkongsi masalah bersama. Dalam situasi ini, Riana sepatutnya menceritakan perasaannya kepada Arjuna dan minta pendapat daripada ibunya.

Keempat, peranan diri sendiri. Sebagai insan yang pasti mempunyai ujian hidup, kita digalakkan untuk sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri dalam kehidupan. Sikap seperti Riana yang menyalahkan suaminya atas musibah yang berlaku tidak membawa kepada sebuah penyelesaian.

Sekalipun sinetron mendapat berjuta-juta tontonan daripada penggemar drama tanah air, namun ia perlu diterjemahkan dalam konteks positif dalam membentuk minda dan mendidik jiwa masyarakat.

JULIANA MOHD ABDUL KADIR
Johor