Ini bermaksud, tidak ada lagi kompromi dari pihak Kementerian Pengangkutan ke atas mana-mana pemandu e-hailing yang gagal memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

Namun yang demikian, saya agak gusar akan prestasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di dalam memenuhi keperluan pelesen terutamanya di dalam mengeluarkan kad PSV setelah pemandu-pemandu lulus ujian PSV yang ditetapkan.

Sekiranya JPJ masih ditakuk lama, mungkin sudah sampai masanya JPJ pula dibubarkan senasib dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan tubuh sahaja jabatan atau agensi baru bagi memenuhi keperluan perlesenan.

Masih banyak isu-isu yang saya lihat tidak dapat diselesaikan oleh Menteri Pengangkutan. Kini ditambah pula dengan bebanan baru hasil usaha daripada Menteri Belia dan Sukan yang ingin menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda terutamanya mat motor.

Anthony Loke dalam satu kenyataan memohon supaya rakyat tidak keliru akan kelulusan yang diberikan oleh kabinet berkenaan hal ini. Ia merupakan kelulusan konsep model motorsikal-teksi dan bukan kepada mana-mana syarikat.

Persoalannya, adakah mod pengangkutan baharu iaitu motosikal-teksi ini akan tetap diperkenalkan? Saya jangka, akan ada satu kajian dan seterusnya dibentangkan kepada kabinet sama ada ia akan diluluskan atau ditolak.

Selagi mana kajian belum selesai, sepatutnya Perdana Menteri dan Kabinet mangambil sikap yang matang, menunggu hasil kajian sebelum membuat keputusan.

Apa yang rakyat dapat lihat hari ini adalah keputusan kabinet yang tergesa-gesa dan terus membuat tindakan tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada keputusan dasar yang dibuat. Lebih menakutkan, Dego Ride dibenarkan beroperasi bagi percubaan walaupun ia masih lagi tidah sah di sisi undang-undang.

Ini adalah satu keadaan yang tidak dapat diterima sama sekali. Hanya kerana syarikat Gojek mendapat sokongan penuh Menteri Belia dan Sukan serta melalui Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Gojek terus dapat bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia sehingga agenda ini dibincangkan di dalam mesyuarat Kabinet.

Kini, Anthony Loke pula perlu menyediakan kajian kebolehlaksanaan mod pengangkutan motorsikal teksi. Lebih memeranjatkan, Anthony Loke dan agensi-agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dilihat senyap dan sunyi daripada membuat sebarang kenyataan balas terhadap cadangan ini terutamanya yang menyentuh soal keselamatan.

Ada yang membanding-bandingkan negara kita dengan Singapura. Mengatakan bahawa Gojek sudahpun memasuki pasaran Singapura, tetapi, tahukah kita tiada perkhidmatan motorsikal teksi Gojek di Singapura. Mereka fokus e-hailing sahaja bagi memastikan keselamatan penumpang terjaga.

Kajian yang akan atau sedang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan harus mengambilkira kedudukan negara sebagai sebuah negara membangun juga pandangan daripada semua pihak berkepentingan di dalam industri. Bukan sekadar memenuhi agenda populis Menteri Belia dan Sukan semata-mata.

Pembangunan polisi juga bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia turut melibatkan proses-proses tertentu di dalam memastikan polisi yang dibuat bersifat dinamik dan memenuhi keperluan semua pihak terutamanya di dalam memastikan keselamatan kedua-dua penunggang dan pembonceng motorsikal terpelihara.

Seharusnya Gojek di jemput untuk bersaing di dalam industri e-hailing memandangkan Grab sudah memonopoli pasaran untuk jangkamasa yang agak lama setelah Uber menyerah kalah di Asia Tenggara.

Walaupun terdapat pemain-pemain industri yang lain di dalam industri e-hailing, pencapaian dan jenama mereka masih lagi belum setara dengan Grab dan mungkin Gojek mampu memberikan saingan seperti yang berlaku di Indonesia.

Sepatutnya Syed Saddiq tidak perlu membebankan lagi Anthony Loke malah fokus kepada menyediakan perkerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda. Berkaitan Gojek, sepatutnya mereka dijemput untuk membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia.

Kerajaan boleh menawarkan insentif-insentif yang menarik kepada Gojek sebagai salah satu usaha membawa masuk syarikat-syarikat teknologi di dalam menyediakan peluang-peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda tempatan.

Syed Saddiq juga harus berhenti membuat kenyataan-kenyataan polisi yang bersifat populis kerana akhirnya ia akan memakan diri. Kenyataan beliau berkaitan Gojek sehinga mendapat persetujuan kabinet adalah satu contoh beliau bekerja sendiri tanpa menghiraukan rakan-rakan Menteri yang lain termasuklah pemain-pemain industri pengangkutan awam.

Akhirnya ada yang melenting sehingga terlepas kata, mengutuk rakyat Indonesia seterusnya menimbulkan rasa tidak puas hati rakan-rakan kita di Indonesia.

Rakan-rakan Indonesia merasa terhina sehingga mereka membuat demostrasi di hadapan kedutaan Malaysia dikala pemain-pemain bola sepak negara kita sedang sibuk mempersiapkan diri berhadapan pasukan Indonesia bagi kelayakan Piala Dunia 2022 di negara mereka sendiri.

Suatu permasalahan yang boleh dielakkan sekiranya Syed Saddiq benar-benar berfikir secara kritikal sebelum membuat sebarang keputusan dasar terutamanya yang melibatkan kementerian-kementerian lain.

Jangan dek kerana mengejar populariti, akhirnya kita tidak sedar bahawa masih ada cara yang lebih baik di dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda terutamanya pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

Bukannya memaksa anak muda membawa penumpang menggunakan motosikal yang pastinya mempunya isu-isu keselamatan terutamanya kemalangan.

Jangan sehingga ada darah di tangan Menteri Belia dan Sukan barulah hendak sedar kesilapan meraih populariti cara mudah dengan memperkenalkan motorsikal teksi.

Wan Agyl Wan Hassan,
Bekas Ketua Bahagian Polisi dan Perancangan, Kumpulan Operasi, SPAD

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.