Pihak kerajaan juga perlu mengadakan sesi pertemuan dengan pihak persatuan dan pemain industri. Sesi sedemikian sangat penting supaya maklumat tepat terutama berkaitan sumbangan industri dobi terhadap ekonomi, produktiviti dan cukai yang dibayar kepada pihak kerajaan dapat disalurkan secara terus.

Dengan mengambil kira kebergantungan sektor ini kepada pekerja asing, kesan daripada dasar ini akan menyebabkan perniagaan perkhidmatan dobi yang berskala kecil dan besar berisiko untuk menutup perniagaan selain meningkatkan kadar pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja secara tidak sah.

Industri dobi adalah satu komponen perkhidmatan sokongan utama kepada beberapa sektor penting seperti perhotelan, pelancongan, hospital, penerbangan, perkilangan, perkapalan, pengangkutan, pendidikan dan banyak lagi termasuk kontrak-kontrak perkhidmatan dobi di agensi-agensi kerajaan.

Sekiranya industri dobi tidak dapat beroperasi secara mampan, ia akan memberi impak negatif dan akan melumpuhkan keseluruhan ekosistem perniagaan yang berkaitan. Adalah dianggarkan pengusaha dobi di Lembah Klang memproses melebihi 1,000 tan linen sehari di mana pekerja tempatan tidak berminat untuk melakukan kerja mencuci, melipat dan menggosok. Oleh yang demikian, kerajaan perlu menarik balik larangan pengambilan pekerja asing di sektor perkhidmatan dobi.

ABDUL JALIL IBRAHIM

Presiden Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (Mula)