Tarikh 8 Disember 2018 boleh dianggap sebagai perhimpunan terbesar umat Islam pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) khususnya melibatkan orang Melayu untuk menyampaikan mesej jelas bahawa jangan ada pihak yang cuba menggugat kepentingan agama Islam dan hak Melayu bumiputera yang sudah tertulis kemas dalam Perlembagaan Persekutuan.

#DaulatHimpunan812 bagi penulis berjaya meletakkan satu tanda aras perhimpunan mega yang terbaik melihat kepada teraturnya perjalanan, disiplin dan adab tinggi para peserta serta kerjasama baik oleh pihak berkuasa.

Lampu hijau yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk perhimpunan itu diadakan wajar dipuji kerana ia adalah satu manifestasi kepercayaan dan keyakinan tinggi pihak berkuasa terhadap penganjur dan para pesertanya.

Perhimpunan itu menjadi medan umat Islam memanjatkan kesyukuran bahawa ICERD tidak diratifikasi oleh kerajaan dan menjadi wadah menyatupadukan umat Islam merentas fikrah parti politik, jantina, umur mahupun latar belakang sosial untuk duduk bersama-sama.

Melalui pemerhatian penulis juga, himpunan ini berjaya menonjolkan imej Islam yang baik kepada khalayak yang memerhati.

Tular dalam media sosial bagaimana lokasi-lokasi yang digunakan oleh para peserta bersih daripada sampah-sarap dan gambar sukarelawan bekerjasama mengumpulkan sampah yang terbuang.

Sekitar zuhur, peserta perhimpunan mula bergerak ke Dataran Merdeka dan bermula pukul 5 petang, himpunan bersurai dan peserta meninggalkan lokasi dengan kepuasan tersendiri.

Justeru sebarang bentuk himpunan mega selepas ini atas apa tujuan sekali pun yang ingin dianjurkan di tengah di ibu kota, saranan penulis agar penganjur dan peserta perlu menjadikan #DaulatHimpunan812 sebagai suri teladan.

MOHD ZAINI OTHMAN

Pegawai Tadbir, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)