Namun begitu, seorang pembaca Utusan Online, Wai Tee beranggapan amanah yang digalas itu tidak seharusnya dipikul oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sahaja tetapi merupakan tanggungjawab keseluruhan barisan Kabinet yang perlu memberi tumpuan kepada tugas masing-masing.

Dengan usianya menjangkau 93 tahun, bebanan dan tekanan yang diletakkan di atas bahu Dr. Mahathir dirasakan sangat tidak adil dalam usaha membina semula Malaysia.

Berikut merupakan kenyataan penuh Wai Tee:

Pejam celik dah setahun berlalu. Banyak telah dirintis walaupun hasilnya masih jauh. Baru terasa nak membangunkan negara bukan mudah! Apa lagi nak membina semula dari kebobrokan yang telah sebati yang hampir meruntuhkan negara.

Banyak yang harus dipikirkan. Barisan menteri dan timbalan menteri kurang pengalaman dan kurang berprestasi dengan penilaian di tahap 5/10. Prestasi sebenar jauh lebih rendah dari itu cuma dirasakan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mahu menjatuhkan air muka ahli Kabinetnya kerana mereka itu juga pilihannya. Dan Dr. Mahathir juga tidak punya banyak pilihan dari segi tokoh yang berkaliber dalam Pakatan Harapan (PH). Justeru tiada rombakan Kabinet yang dibuat yang sebenarnya amat mendesak.

Ditambah pula dengan adanya sabotaj dari dalam, dari dalam kalangan menteri dan pegawai kerajaan seperti yang didedahkan oleh A. Kadir Jasin dalam tulisannya yang terbaharu. Dengan bebanan hutang, ekonomi yang belum pulih dan sumber kewangan yang terhad, tentunya menambah bebanan dan tekanan kepada Dr. Mahathir.

Bayangkan susuk tubuh berumur 93 tahun terpaksa menanggung semua itu? Apakah kita sampai hati untuk memaksa ayah atau datuk kita yang berumur 93 tahun untuk berbuat sedemikian. Pasti tidak! Tapi apakah benar Dr. Mahathir tidak punya pilihan?

Dr. Mahathir telah pun melaksanakan tanggungjawabnya yang utama iaitu menjatuhkan kerajaan kleptokrat Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO-Barisan Nasional (BN). Itu satu sumbangan Dr. Mahathir yang amat besar melangkaui sejarah. Rakyat telah melihat dengan mata kepala mereka sendiri betapa rompakan harta negara yang dilakukan oleh Najib dan pemimpin UMNO-BN yang terlibat.

Tidak adil rasanya untuk memaksa Dr. Mahathir menggalas tugas membangun semula Malaysia di umur dan tenaganya yang semakin rapuh. Amat tidak adil! Dan jika itu diteruskan, inilah kegagalan yang paling besar dalam PH! Tiada pelan penggantian dan tiada pelapis yang berwibawa untuk meneruskan usahanya membina semula Malaysia.

Banyak dah didengar. Umum pun dah tahu. Dr. Mahathir tidak se gah dulu. Ada kalanya beliau terpaksa ‘take 5’ untuk tidur dan berehat sebentar di antara mesyuarat dan acara. Beliau kini kelihatannya cepat lelah dan tidak kurang pula beliau terlupa dan perlu diperingatkan. Beliau tidak boleh disalahkan. Biologi tubuh 93 tahun memang begitu.

Apa lagi kita mahu dari Dr. Mahathir? Legasinya sudah terbukti. Tiada siapa yang boleh mempersoalkannya. Kita menyanjungnya dan dunia turut memperakuinya. Dan jangan sampai legasinya rosak kerana kita terlalu mendesak di luar kemampuan biologinya.

PH harus bertindak cepat dan teratur. Masa sangat mendesak. Kita tidak mahu kejutan, apa lagi kejutan dalam kita tidak bersiap sedia. Pengganti telah dipersetujui. Cuma masa yang belum dimuktamadkan.

Apakah kita dan Dr. Mahathir takut beliau akan menjadi ‘itik lumpuh’ jika tarikh peralihan diumumkan? Tidak mungkin. Penggantinya telah mengumumkan ke seluruh dunia yang Dr. Mahathir tetap akan memainkan peranan penting setelah peralihan.

Dalam keadaan dan suasana yang tenang setelah peralihan, Dr. Mahathir sebagai mentor akan dapat memberikan idea yang lebih bernas dan lebih fokus membangunkan negara dalam semua bidang meliputi pentadbiran, pendidikan, kewangan dan ekonomi.

Malah, Dr. Mahathir berkeupayaan melihat lebih menyeluruh masalah yang dihadapi dan dapat membantu memperbetul kelemahan dan kesilapan yang ada dengan tuntas dan lebih komprehensif.

Dr. Mahathir seharusnya tidak perlu gusar. Tak mungkin penggantinya akan mengulangi kesilapan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib. Lagi pun penggantinya bukan seperti kebanyakan menteri Kabinetnya. Penggantinya telah teruji kebolehannya dan telah bersama beliau lebih 16 tahun mentadbir dan mengurus negara hingga menjadi Harimau Malaysia yang disegani ketika itu.

Malaysia baharu dan pakatan baharu tidak mungkin akan memberikan ruang untuk kesilapan lama berulang. Begitu juga rakyat tidak teragak-agak akan menghukum PH seperti yang dilakukan terhadap Najib dan UMNO-BN jika salah guna kuasa dan rasuah menyelinap dalam pentadbiran sekarang.

Di samping itu, Dr. Mahathir dapat menumpukan perhatian dalam mengukuhkan partinya yang juga setahun jagung. Umum mengetahui partinya belum cukup kuat dan tidak punya ramai pemimpin pelapis yang berkaliber. Kuat partinya kuatlah PH. Partinya merupakan tunjang untuk meraih sokongan pengundi Melayu terutama di luar bandar.

Tahun kedua dan tahun kedepan ini lebih mencabar. Tahun inilah rakyat akan melihat keupayaan PH sebenar dalam membangun dan menguruskan negara. Tiada lagi ruang untuk menyalahkan pentadbiran lama. Dan disinilah Dr. Mahathir harus menjadi penasihat dan mentor yang efektif memastikan pimpinan lapisan kedua ini benar-benar terlatih dan dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.

Empat tahun tidak lama dan Dr. Mahathir harus berani melakukan perubahan!

Wai Tee

20 Mei 2019

 

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Utusan Malaysia.