Dalam situasi pentadbiran kerajaan baharu sekarang ini nampaknya pihak ataupun dalang yang membuat serta menyebar video seks sumbang berkenaan wajar dikenakan tindakan undang-undang terlebih dahulu daripada mendapat kesahihan tentang pelaku atau pelakonnya. Tindakan ini sebagai pengajaran bagi mengekang permainan politik jijik daripada berulang pada masa hadapan walaupun terpaksa mengenepikan soal moral seseorang individu berkepentingan politik yang dituduh sebagai terbabit dalam isu video hubungan sejenis berkenaan.

Bebanan dalam mendapatkan kesahihan pembikinan video dan pelaku adalah terletak pada bahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) malah sebarang kenyataan berbaur politik termasuk daripada kerajaan tidak dapat meyakinkan rakyat dalam mencari kebenaran ke atas isu berkenaan, malah umum berpendirian bahawa kuasa menahan seseorang adalah di tangan polis sehingga pejabat Peguam Negara bersetuju untuk pelaksanaan pendakwaan dibuat.

Justeru PDRM digesa mengenal pasti dalang utama dalam isu pembikinan video tersebut serta menahan tanpa mengira kedudukannya bagi diheret ke muka pengadilan sebelum tindakan sama dikenakan terhadap seorang lagi pelaku jika terbukti penglibatannya dalam kegiatan songsang di luar tabii berkenaan.

Kerajaan mahupun PDRM diharapkan dapat berlaku adil dalam setiap tindakan serta penyiasatan khususnya kes video berkenaan demi faedah serta kepentingan rakyat terutama orang Melayu serta agama Islam yang terpaksa ‘bersubahat’ dalam melayan kerenah elemen seks songsang yang dikatakan berlaku dalam kalangan pemimpin politik tertentu selama tempoh 20 tahun ini.

RAHMAD ISAHAK

Aktivis politik