BAGI sesiapa yang meneliti hujah seputar Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), pasti akhir­nya akan sedar bahawa TPPA mungkin membawa mudarat yang meresahkan, tetapi pada masa yang sama turut berkemungkin­an memberi manfaat yang sukar dilepaskan.

Namun demikian, hujah-hujah ini ada satu masalah yang sangat mendasar, iaitu hampir kesemua­nya dikemukakan atas andaian semata-mata.

Perlu diingatkan, TPPA ini jauh lebih kompleks berbanding perjanjian perdagangan bebas lain yang berkuatkuasa di negara ini dan atas faktor tersebut mungkin ada jalan alternatif lain yang boleh membantu kita untuk membuat keputusan dengan lebih tepat iaitu dengan memperkenalkan projek perintis.

Di bawah projek perintis ini, setiap negara ahli TPPA akan memilih satu zon atau negeri dalam negara masing-masing dan zon yang dipilih itu hendaklah mempunyai ciri-ciri yang sebanding antara satu sama lain.

Contohnya, penduduk zon tersebut hendaklah mewakili 20 peratus daripada populasi negara itu, dan berada pada persentil ke-70 dari segi kekayaan ekonomi dalam negara tersebut.

Boleh juga dipilih dua atau tiga zon berbeza untuk setiap negara, iaitu setiap zon mewakili tahap kekayaan atau pembangunan berbeza (mungkin daripada persentil ke 10, 50, dan 90). Zon yang dipilih ini pula hendaklah dipersetujui sebulat suara oleh semua anggota TPPA bagi mengelakkan sebarang pertikaian pada masa akan datang.

Apabila zon-zon ini telah dipersetujui, setiap negara akan diberi tempoh beberapa tahun untuk menjalankan TPPA secara sepenuhnya di zon-zon berkenaan.

Tempoh masa yang diberikan pula hendaklah merangkumi keseluruhan kitaran ekonomi di samping mencukupi untuk proses ‘pembetulan teknikal pasaran’, mungkin 10 tahun.

Selesai tempoh tersebut, setiap negara akan membuat keputus­an akhir berdasarkan penilaian masing-masing. Pastinya keputus­an ini lebih tepat kerana dibuat atas angka-angka dan fakta-fakta sebenar yang berlaku sepanjang tempoh projek perintis tersebut dilaksanakan.

Kendatipun tidak dapat dipastikan apakah kita mempunyai masa yang cukup untuk mengubah haluan TPPA ini, segalanya mungkin dengan bantuan teknologi internet dan media sosial.

Seandainya apa yang dicadang­kan ini lebih baik dan selamat, wajarlah kita semua mendesak kerajaan bagi kesemua 12 negara TPPA untuk menjalankan projek perintis tersebut terlebih dahulu sebelum membuat keputusan akhir berkenaan TPPA.

Sesungguhnya risikonya terlalu besar untuk memutuskan isu TPPA ini dengan hanya bersandarkan kepada andaian semata-mata.

SHAHRUL AMRI AB. WAHAB

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis