Kerajaan Malaysia dalam memberi maklum balas kepada semakan tersebut, telah menerima 184 daripada 268 syor dan mengambil maklum baki 84 yang lain. Ini merupakan langkah-langkah ke hadapan yang menggalakkan walaupun Suhakam percaya usaha selanjutnya boleh dilaksanakan bagi menerima pakai lebih banyak syor terutama melibatkan penyertaan kepada enam lagi baki triti antarabangsa serta menarik balik kesemua reservasi dalam triti-triti sedia ada.

Ini terutama berkenaan Konvensyen Antarabangsa berkaitan Status Pelarian 1951, ratifikasi Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan, Atau Menjatuhkan Maruah (CAT) dan meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun yang telah dijanjikan oleh kerajaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, Suhakam tetap kecewa dengan keputusan kerajaan untuk tidak menyertai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan ingin menekankan bahawa hak-hak setiap manusia itu wujud tanpa perlu ada perasaan bimbang tentang penganiayaan atau didiskriminasi berdasarkan bangsa mereka.

Ini amat benar terutama bagi negara yang mempunyai kepelbagaian bangsa dan budaya seperti Malaysia di mana perlindungan amat diperlukan untuk mencegah pelanggaran terhadap keadilan dan maruah. Kerajaan seharusnya membuka ruang kepada sesi dialog berterusan serta mendidik masyarakat tentang kesaksamaan dan pembasmian diskriminasi perkauman dan bukan hanya tunduk kepada desakan orang ramai.

TAN SRI RAZALI ISMAIL
Pengerusi Suhakam