Pengadu memaklumkan kesangsiannya dengan cara pengendalian portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang dilihat tidak kompeten dan meragukan. Dimaklumkan SPA sebagai pihak berkuasa melantik merupakan badan bebas yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan berperanan melantik penjawat awam secara telus dan inklusif.

Terdapat beberapa cara lain untuk memohon pekerjaan dalam sektor awam. Pengadu boleh memohon pekerjaan dalam sektor awam kepada pihak berkuasa melantik selain SPA seperti Majlis Angkatan Tentera, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, badan berkanun Persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan serta portal JobsMalaysia. Kesemua permohonan pekerjaan ini adalah melalui sistem komputer di bawah suruhanjaya, kementerian dan agensi masing-masing.

Keperluan untuk melepasi syarat ditetapkan oleh kementerian dan jabatan. SPA bertindak sebagai badan penyelaras dan mematuhi tatacara ditetapkan. Ia adalah untuk memastikan semua calon tidak merasa sangsi dan ragu akan ketetapan sedemikian. Tapisan melepasi syarat yang ditetapkan oleh SPA bermaksud syarat yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan. Misalnya, syarat skim perkhidmatan bagi jawatan Pegawai Siasatan Gred P41, ialah ijazah sarjana muda kepujian yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.

Ini bermaksud semua ijazah sarjana muda kepujian dalam pelbagai bidang boleh memohon dan layak dilantik. Bagaimanapun mengambil kira kelayakan pegawai-pegawai sedia ada dalam sesuatu jawatan, bagi sesuatu urusan pengambilan baharu, kementerian atau jabatan akan menentukan kelayakan akademik atau bidang pengkhususan tertentu. Bagi maksud ini, mana-mana calon yang berjaya memenuhi syarat tapisan kelayakan akademik dan bidang pengkhususan ditetapkan oleh kementerian atau jabatan akan dipanggil untuk urusan selanjutnya.

Memandangkan jumlah permohonan yang diterima melalui Portal SPA sentiasa tinggi bagi sesuatu urusan pengambilan, maka kaedah-kaedah tapisan tambahan juga digunakan bertujuan mendapatkan suatu jumlah calon yang sesuai untuk dipanggil temu duga bersesuaian dengan jumlah kekosongan jawatan yang diperlukan oleh kementerian atau jabatan. Semoga penjelasan ini dapat memberi gambaran keseluruhan mengapa sebahagian pemohon Portal SPA8i tidak berjaya dalam tapisan. Sekiranya pengadu ingin mengetahui status kegagalan permohonan, boleh hubungi SPA untuk penjelasan lanjut.

UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT

Suruhanjaya Perkhidmatan

Awam (SPA)