Marilah semua Muslim tidak kira kaum untuk kita menyokong produk keluaran umat Islam yang lebih terjamin halalan toyyiban (sesuatu yang halal dan bersifat baik) yang dibuat oleh mereka yang beriman kepada Allah SWT.

Pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mesti berusaha bersungguh-sungguh memajukan ekonomi Muslim yang masih berada jauh di belakang berbanding ekonomi penganut agama lain.

Para Yang Berhormat Muslim sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang mestilah bersatu dalam meningkatkan semula ekonomi umat Islam. Namun, sangat menyedihkan kerana ada dalam kalangan kepemimpinan Muslim yang tidak menyokong kempen ini.

Jika tidak suka kepada kempen ini dan tidak mahu membantu membeli produk Muslim, sekurang-kurangnya janganlah mengkritik dan memandang rendah kempen sedemikian. Biarlah rakyat biasa dan NGO Muslim yang mengambil tanggungjawab memastikan kempen ini terus dilaksanakan dan berjaya mencapai matlamatnya.

Kaum lain juga telah melaksanakan kempen membeli barangan mereka sebelum ini dan tidak dihalang oleh orang Islam dan kerajaan terdahulu. Setiap rakyat mempunyai kepentingan untuk meningkatkan ekonomi kaum dan agama masing-masing.

Masing-masing ada hak sebagai pengguna. Jangan cepat melatah dengan kempen seperti ini. Langkah ini bukan bermakna Muslim tidak membeli langsung produk keluaran bukan Islam. Muslim sentiasa bertolak ansur dengan penganut agama lain, asalkan tidak melampaui batas. Muslim sebelum ini tidak begitu mengambil kisah dengan produk yang dibeli asalkan halal.

Namun, apabila timbul banyak isu penipuan dan keraguan status kesucian produk serta ditambah dengan isu tidak menghormati agama Islam dan orang Melayu serta Perlembagaan Persekutuan, maka timbul kesedaran dalam kalangan Muslim untuk menjalankan kempen ini.

Jangan ada lagi sesiapapun memandang serong kempen ini. Muslim sangat mengambil berat dengan apa yang mereka makan kerana ia akan menjadi darah dan daging tubuh serta akan dinilai di sisi Allah SWT nanti.

MUSLIM PRIHATIN

Kuala Lumpur