Selama 19 tahun bergelumang dengan badminton, Chong Wei telah banyak mencipta nama menerusi kejuaraan demi kejuaraan di peringkat dunia antaranya menjadi pemain badminton nombor satu dunia beberapa tahun.

Ketiadaannya selepas ini bakal menyebabkan sukan badminton di Malaysia merosot kerana setakat ini belum ada pemain yang berpotensi mampu sampai ke persada dunia dan terus bertahan seperti Chong Wei.

Hal ini kerana pemain muda sekarang ramai yang tidak konsisten dan kurang pengalaman di peringkat antarabangsa.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu merangka strategi untuk menangani masalah ini dengan segera seperti berusaha melahirkan lebih ramai pemain-pemain muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat dunia

Faktor infrastruktur dan kemudahan latihan tidak boleh dijadikan alasan kerana negara sudah mempunyai kemudahan stadium besar dan moden.

Sesungguhnya sukan badminton tidak boleh lagi bergantung pada seseorang pemain sahaja bagi menggalas cabaran masa kini.

Malaysia sepatutnya sudah lama memiliki barisan pelapis negara bagi mengganti pemain yang sudah lama dan bersara dalam apa-apa bidang sukan sekali pun bak kata perpatah, ‘Yang patah tumbuh, Yang hilang berganti’.

OUI SAL
Tanah Merah, Kelantan