Trend ini sangat merisaukan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, guru dan masyarakat. Murid berusia seawal 10 tahun sudah mula membeli peranti vape masing-masing tanpa malu kerana tidak ada sekatan dan pengawasan yang sewajarnya.

Berdasarkan tinjauan dalam kalangan penggiat industri vape, punca utama disebabkan segelintir penjual vape mengingkari garis panduan Kementerian Kesihatan berhubung larangan penggunaan dan penjualan peranti vape bagi individu di bawah umur 18 tahun. Berikutan permintaan tinggi pengguna vape pod, pelajar sekolah dilihat sebagai mangsa untuk mengaut keuntungan mudah dalam masa singkat. Jika dahulu budaya menghisap rokok antara kesalahan berat di sekolah, budaya menghisap vape pod yang dilihat gaya merokok masa kini juga perlu diberikan perhatian dan memerlukan tindakan responsif.

Industri vape dilihat sebagai lubuk duit. Namun masalah sosial dalam kalangan pelajar sekolah yang terlibat dengan vape ini memberi kerisauan kepada pemain industri itu. Sebab itu kita melihat mereka lantang mengkritik tindakan sesetengah peniaga yang kurang bertanggungjawab menjual peranti vape kepada golongan pelajar sekolah bawah umur kerana ia membunuh pendapatan. Jika masalah sosial ini berlarutan, besar kemungkinan rang undang-undang akan digubal untuk mengharamkan penggunaan vape atau mungkin semua produk vape akan dikenakan cukai tambahan.

Pengguna vape di Malaysia sudah mencecah lebih sejuta orang sekali gus memberi sumber pendapatan kepada peniaga. Persoalannya, sanggupkah kerajaan mengharamkan penggunaan vape yang menjadi antara penyumbang dalam ekonomi negara? Itu belum dikira pulangan besar dari sektor pelancongan apabila ramai pihak luar berkunjung ke negara ini untuk menghadiri majlis-majlis tertentu berkaitan vape. Pasaran Vape di Malaysia pernah mencatat kutipan sebanyak RM2 bilion pada 2015 sekali gus menjadi negara kedua terbesar selepas Amerika Syarikat (AS) mencatat pendapatan tertinggi.

HANIFF MAHAT

Bangi, Selangor