Melanjutkan umur persaraan bermakna peluang-peluang pekerjaan baharu dalam sektor awam tertutup atau tertangguh. Ini kerana tanpa persaraan, pengambilan pekerja baharu juga terbeku sedangkan peluang-peluang pekerjaan baharu pula terhad.

Selain itu peluang kenaikan pangkat dalam kalangan penjawat awam itu sendiri akan tertangguh. Ini kerana selagi penjawat di peringkat atasan belum bersara, mereka yang di lapisan bawah juga sukar untuk dinaikkan pangkat.

Sepatutnya Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) perlu membantah apabila kerajaan mengambil keputusan untuk meneliti cadangan meningkatkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun susulan cadangan daripada MTUC dengan memikir bahawa di dalam perkhidmatan awam ini sudah sampai masanya untuk menerap masuk pegawai-pegawai atau kakitangan-kakitangan yang baru serta muda.

CUEPACS harus sedar ini bukan era tahun 60-an atau awal 70-an atau sebelumnya di mana tawaran kerja lebih banyak daripada bakal penyandang. Ketika itu ramai pelajar universiti sudah ditawarkan kerja sebelum pun menamatkan pengajian. Lulusan universiti, kolej atau sekolah menengah memang mudah mendapat kerja.

Tapi senario kini sudah jauh berlainan. Jumlah pencari pekerjaan jauh lebih ramai daripada tawaran kerja. Setiap tahun universiti awam dan swasta melahirkan ribuan graduan dalam pelbagai bidang dan jumlah ini terus bertambah dari tahun ke tahun.

Adalah lumrah kini graduan-graduan dalam pelbagai disiplin masih menganggur selepas beberapa tahun menamatkan pengajian. Hanya segelintir yang bernasib baik mendapat kerja dalam tempoh singkat selepas meninggalkan menara gading.

Justeru jika CUEPACS memberi alasan perlanjutan had umur persaraan wajar atas kedudukan ekonomi yang tidak menentu, dan MTUC juga melihat had umur persaraan harus dinaikkan kerana gaji rendah itu menyebabkan pekerja tidak memiliki simpanan mencukupi untuk menampung usia persaraan panjang hingga bergantung kepada ahli keluarga, masyarakat dan kerajaan,

Sedarilah realiti ini, iaitu ramai yang sedang mencari kerja, dan anda merupakan penghalang kepada barisan baharu untuk menduduki dalam perkhidmatan awam. Sampai bila nak tunggu?

CUEPACS dan MTUC jangan hanya memikirkan ‘ekonomi’ mereka tetapi fikirkan juga ‘ekonomi’ yang masih teraba-raba mencari kerja ini. Apakah makna semua ini? Jawapannya mudah iaitu permintaan jauh melebihi tawaran. Ruang pekerjaan khususnya dalam sektor awam kian sendat sedangkan ramai yang ingin memasukinya. Pastinya sukar untuk menembusi ruang sempit ini.

Tampak bahawa modal insan dalam kalangan generasi muda akan dipersia-siakan kerana tidak diserap dalam perkhidmatan awam pada usia muda untuk dilatih dan dipersediakan sebaiknya. Ini juga dikhuatiri akan memberi kesan jangka masa panjang terhadap perkhidmatan awam.

Jangan sampai menutup peluang mereka yang sedang berbaris menunggu untuk berkhidmat dalam sektor awam. Ingatlah, mereka ini mungkin anak, cucu atau saudara mara penjawat awam itu sendiri.

Peningkatan kerjaya adalah impian setiap pekerja. Tetapi peluang mereka untuk meningkat juga terhad jika orang atasan masih enak duduk di kerusi masing-masing. Orang bawahan hanya boleh mengintai mereka yang di atas tetapi tidak dapat sampai ke tempat mereka.

Hakikat ini mesti disedari oleh CUEPACS dan MTUC. Jangan diabaikan peluang kemasukan pekerja-pekerja baru di dalam perkhidmatan awam. Dibimbangi ini boleh menjejaskan produktiviti perjalanan perkhidmatan dalam kerajaan kerana tidak mempunyai jumlah yang cukup akan pelapis-pelapis yang baharu.

Sehubungan itu kerajaan seharusnya membuat pertimbangan bijak terhadap permohonan MTUC ini. Had umur persaraan pada usia 60 tahun kini sudah mencukupi. Tidak perlu hendak dilanjutkan kepada 65 tahun pula.

Dibimbangi jika permintaan ini dilayan, pada tahun-tahun mendatang akan ada pula permintaan dinaikkan kepada umur persaraan kepada 90 tahun misalnya. Di manakah nokhtahnya?

MUHAMMAD AFIQQ NOH

Ahli Parlimen Belia Malaysia

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.