Kelakuan YB Syed Saddiq seolah-olah mahu menonjolkan dirinya sebagai anak Johor yang prihatin dengan caption ‘hubungan Johor & federal boleh diperumpamakan bagai cubit peha kiri terasa peha kanan’.

MBNJ ingin mengingatkan YB Syed Saddiq yang telah mula berubah terutama apabila dilantik sebagai menteri persekutuan. Anak muda di akar umbi berasa kecewa kerana YB Syed Saddiq tidak memainkan peranan apabila ekonomi negeri Johor semakin menguncup sejak PRU ke 14 yang lalu.

Sebaliknya, YB Syed Saddiq yang diharapkan menjadi jambatan kepada hubungan Johor dan persekutuan telah mensabotaj ekonomi rakyat Johor dengan kenyataan-kenyataan politik yang menimbulkan banyak prasangka antara negeri dan persekutuan. Akhirnya, Johor sering menjadi yang terakhir dalam menerima apa-apa manfaat atau insentif dari persekutuan.

MBNJ berpendapat jika YB Syed Saddiq benar-benar ikhlas, beliau mestilah membantu Johor dengan mendapatkan insentif dan manfaat yang setimpal buat rakyat negeri ini. Fakta menunjukkan negeri Johor adalah antara negeri tertinggi yang menyumbang kepada persekutuan iaitu sebanyak lebih RM 40 billion setahun, tetapi hanya menerima kembali sekitar RM2 billion setahun untuk manfaat dan kegunaan rakyat negeri ini.

Bayangkan betapa rakyat negeri ini dianaktirikan oleh Persekutuan tetapi Saddiq dengan selamba cuba bermain wayang. Sebagai seorang menteri persekutuan sudah tentu, YB Syed Saddiq lebih mengetahui perkara inu tetapi dengan sengaja berdiam diri untuk kepentingan Johor atas sebab-sebab politik.

Persoalannya, adakah dengan posting gambar bersama MB Johor dan PM sudah cukup menggula-gulakan rakyat negeri ini kononnya beliau bekerja untuk Johor? MBNJ amat hampa mempunyai taraf menteri seperti ini.

Kepada YB Syed Saddiq, MBNJ suka berpesan hentikanlah lakonan dan kepura puraan ini. Hentikan berpura-pura mahu membantu negeri Johor tetapi hakikatnya YB Syed Saqqiq hanya mahu berpolitik dan bermain wayang sahaja.

Mohd. Rashidi Ismail

Naib Presiden MBNJ

Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan Malaysia

-UTUSAN ONLINE-