Terima kasih kepada Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) kerana merealisasikan impian kami. Pengalaman manis semasa mengerjakan tawaf, melihat Kaabah di depan mata dan ketekunan mendirikan solat demi solat dan berdoa sepanjang berada di tanah suci selama 48 hari adalah suatu kenangan yang tidak boleh dilupakan sampai bila-bila.

Satu lagi kenangan yang tidak boleh dilupakan bagi saya dan pastinya juga jemaah haji yang lain ialah peristiwa bilamana kami diuji dengan ribut kencang pada malam menjelang hari wukuf pada 9 Zulhijjah yang telah merosakkan beberapa khemah. Kerosakan khemah yang terlibat dibaiki dengan pantas dalam beberapa jam sahaja oleh kakitangan Tabung Haji dan sukarelawan yang dilantik dalam kalangan haji/hajah yang dikenali sebagai ‘sahabat’ Tabung Haji.

Musim lepas, kerajaan Arab Saudi telah memuji jemaah haji Malaysia sebagai kumpulan haji paling berdisiplin dan antara paling bersih apabila meninggalkan khemah selepas selesai beribadat. Satu kebanggaan untuk negara. Ini berlaku kerana Tabung Haji telah mengambil langkah proaktif melancarkan Kempen Kebersihan Perdana Masyair untuk kali pertama musim lalu bagi memastikan kawasan perkhemahan di Arafah, Muzdalifah dan Mina bersih apabila ditinggalkan kelak.

Dijangka kempen ini akan dibuat untuk kali keduanya pada musim ini bagi memastikan aspek kebersihan terus menjadi keutamaan jemaah haji kita. Jemaah haji tahun lepas juga telah diberi pujian kerajaan Arab Saudi kerana patuh kepada pergerakan yang diatur oleh Tabung Haji sehingga dikenali sebagai kumpulan jemaah haji yang paling bersopan kerana tidak menimbulkan sebarang masalah kepada pihak berkuasa tuan rumah.

Di samping itu, peniaga-peniaga di sana cukup mengenali Malaysia. Apabila melihat jemaah Malaysia berdasarkan beg sandang berwarna kuning yang dibekalkan Tabung Haji dan pas pengenalan jemaah, mereka akan ucapkan ‘Malaysia bagus!’ Satu kebanggaan buat jemaah Malaysia.

Diharap kumpulan haji pada musim ini dapat mengekalkan nama baik negara. Cuaca di tanah suci pada musim haji tahun ini dijangka panas melampau dan dijangka boleh mencecah sehingga hampir 50 darjah Celsius. Suhu tahun lalu adalah sekitar 41 darjah Celsius.

Jemaah kita dinasihatkan meminum air secukupnya terutama sekali air zamzam sepanjang mereka berada di sana bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku seperti risiko terkena serangan panas atau strok haba. Selain cuaca panas terik, tahap kesabaran jemaah akan diuji dengan berbagai-bagai bentuk halangan dan dugaan.

Hadapi semua ujian itu dengan sabar dan tenang kerana semestinya ada hikmah. Kepada jemaah yang belum lagi berangkat ke tanah suci, saya syorkan bawa bersama mereka sedozen dua gula-gula Hacks hitam. Jemaah akan mengalami batuk dan gula-gula ini dapat memberikan sedikit kelegaan.

Doa dan harapan saya semoga kesemua jemaah haji Malaysia musim ini diberi kesihatan yang baik, dapat menunaikan fardu haji dengan sempurna dan selamat serta memperoleh haji mabrur seperti yang dihasratkan. Ingat pantang larang dalam ihram dan mengisi perjalanan ibadah haji itu dengan berzikir dan laksanakan ibadah-ibadah sunat di samping membaca al-Quran kerana ganjaran pahalanya menurut ulama adalah 100,000 kali ganda. Rebutlah peluang ini kerana ibadat haji ini hanya sekali sahaja seumur hidup.

Kepada lebih 600 petugas Tabung Haji yang berpengalaman atau tidak, wira dan wirawati di mata saya kerana berani menyahut dan mengharungi 1,001 macam dugaan dan ujian melayani kerenah bakal-bakal haji dan hajah kita di sana, saya ucapkan selamat bertugas dengan penuh dedikasi.

Akhir kata, kepada mereka dan semua jemaah haji, saya ucapkan selamat berangkat ke tanah suci dan selamat kembali ke Malaysia.

MOHD. FAIZAL ABDULLAH
Batu Caves, Selangor