Dua minggu lepas, saya berpeluang ke pusat beli belah Angsana Johor Bahru. Keadaan di situ persis pesta hari raya kerana semua keperluan telah mula dijual walaupun puasa belum bermula. Saya berkesempatan pergi ke beberapa kedai kasut dan baju untuk meninjau harga yang ditawarkan.

Hasil penelitian saya, sepasang baju Melayu kanak-kanak berharga RM50 sepasang, baju kurung RM60 sepasang, kasut pula antara RM50 ke RM60 sepasang, kemeja T RM35 sehelai dan seluar panjang RM40 sehelai. Ini bermakna secara purata, ibu bapa perlu memperuntukkan sekitar RM200 untuk seorang anak.

Bagaimana keadaan keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai? Ini baru kos pakaian, tidak termasuk perbelanjaan untuk pulang ke kampung dan harian selama beraya di sana .

Sebenarnya kita telah lama berdepan dengan isu kos sara hidup yang tinggi, namun masih belum dapat jalan penyelesaian bijaksana. Penguatkuasaan sepanjang musim perayaan perlu lebih rancak dijalankan agar tindakan menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya tidak berlaku.

Selain itu, keperluan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan berbelanja secara berhemah juga perlu sentiasa dilaungkan dari semasa ke semasa.

Sudah pasti keresahan ibu bapa dalam menggembirakan anak-anak apabila tiba hari raya tidak dapat dicapai kerana faktor kos sara hidup yang di luar kemampuan mereka.

Justeru, pihak yang bertanggungjawab perlulah melihat perkara ini secara lebih serius dan dapat turun padang untuk memahami permasalahan rakyat.

ZAHARIAH ZAINAL

Kolej Yayasan Pelajaran Johor