Usaha ini harus dilihat secara positif oleh semua pihak kerana langkah terbabit akan memberi lebih banyak ruang kepada belia untuk melibatkan diri dalam politik.

Di samping usaha bersungguh-sungguh untuk menurunkan had usia mengundi, kerajaan juga harus mengambil langkah proaktif untuk melindungi hak pengundi itu sendiri. Setiap manusia memiliki hak untuk dilindungi serta dihormati seperti hak isteri, hak pengguna dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian, tidak menjadi satu kesalahan untuk mewujudkan satu lagi hak iaitu hak pengundi.

Hak pengundi bukan sahaja melibatkan kebebasan untuk mengundi sesiapa sahaja yang mereka suka malah perlu melibatkan hak menuntut segala janji-janji manis yang telah dibuat oleh ahli politik dan parti ketika kempen pilihan raya.

Tindakan untuk tidak memenuhi atau menepati segala janji yang telah dibuat dalam manifesto pilihan raya menunjukkan dengan jelas sikap tidak hormat pemerintah terhadap pengundi yang telah memberi kepercayaan kepada mereka.

Antara janji-janji manis yang sering dibuat adalah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, memberi kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik serta membina jalan raya.

Pengundi selalunya akan memberi undi kepada ahli politik atau parti yang menawarkan janji terbaik melalui manifesto pilihan raya. Namun amat malang, status sesebuah manifesto hanyalah sekadar janji manis yang tidak terikat dengan undang-undang. Ini bermakna ahli politik atau parti yang membuat janji tidak perlu menunaikannya.

Oleh itu, sudah sampai masanya setiap manifesto yang dibuat oleh mana-mana ahli politik atau parti diikat dengan undang-undang supaya tindakan mahkamah boleh diambil terhadap pihak-pihak berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu manifesto pilihan raya ini untuk diberikan satu kuasa undang-undang terhadapnya. Pindaan boleh dilakukan terhadap akta sedia ada seperti Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)