Kesediaan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengadakan sesi perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik juga adalah satu usaha yang wajar dipuji. Namun, beberapa perkara wajar diperhalusi terlebih dahulu untuk menjadi pertimbangan kerajaan sebelum sebarang tawaran boleh dikemukakan kepada penduduk.

Kedudukan Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah arus pemodenan bandar Kuala Lumpur selayaknya mendapat sejumlah harga yang munasabah.

Jika harga ditawarkan di bawah paras RM93 semeter persegi, ia sudah tentu kurang sesuai dengan kedudukan semasa tanah Kampung Baru yang dilihat sangat berpotensi untuk dimajukan dengan projek berimpak tinggi.

Tambahan lagi kedudukan Kampung Baru yang berada di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur dan di sekelilingnya terdapat pelbagai kemajuan.

Seharusnya pertimbangan teliti dibuat kerana para pemilik bakal menyerahkan tanah mereka untuk tujuan pembangunan dan pulangan setimpal wajar diperhalusi.

Cadangan projek berbentuk strata (bertingkat) untuk menggantikan kedudukan tanah lot sedia ada juga wajar dibahas dengan panjang kerana rata-rata pemilik sekarang berada di atas sebidang tanah yang agak luas.

Saranan untuk menggantikan tanah lot dengan nilaian beberapa unit strata juga perlu dilihat secara terperinci kerana pemilik bakal kehilangan sebidang tanah lot jika konsep ini diterima pakai.

Setidak-tidaknya kerajaan perlu membuat tawaran yang menguntungkan kedua-dua belah pihak khususnya dari sudut harga dan manfaat semasa.

Saya optimis bahawa hasrat pembangunan itu boleh dicapai jika tawaran berdasarkan konsep menang-menang menjadi asas kepada usaha kerajaan.

Perlu diingatkan bahawa Kampung Baru adalah satu-satunya penempatan orang Melayu terbesar yang masih wujud di Kuala Lumpur hasil dari warisan generasi terdahulu.

Sebarang kaedah pengambilalihan tanah secara perundangan wajar dielakkan sebaliknya persetujuan secara konsensus dan perbincangan haruslah menjadi objektif utama.

Justeru, mempertahankan hak orang Melayu dan memberikan manfaat pembangunan yang menguntungkan semua pihak perlulah menjadi keutamaan kerajaan.

SYED BADLI SHAH SYED OSMAN

Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB)