Kenapa pula? Ini kerana perpustakaan sekarang sudah tidak sama macam waktu anda bersekolah. Semuanya menarik!

Anda boleh ke perpustakaan dalam kawasan kejiranan mahupun perpustakaan maya sahih yang boleh diakses secara dalam talian.

Dalam era dunia digital, pengguna boleh melayari perpustakaan maya pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Perpustakaan maya menyediakan bahan dan perkhidmatan yang memudahkan kita untuk mendapatkan maklumat tanpa perlu hadir secara fizikal ke perpustakaan. Hanya dengan satu klik, kita sudah pun berada dalam perpustakaan maya. Mudah bukan?

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) contohnya ada membangunkan aplikasi PNM e-reader yang boleh dimuat turun melalui Playstore. Aplikasi ini menyediakan bahan bacaan dan pengguna boleh membuat peminjaman bahan secara maya. Malah International Children’s Digital Library iaitu sebuah perpustakaan digital yang dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik luar negara turut membenarkan kanak-kanak di seluruh dunia mengakses perpustakaan digital ini secara percuma. Terdapat pelbagai buku cerita dan video interaktif yang berguna untuk kanak-kanak. Malah orang dewasa pun teruja melihat semua bahan yang boleh diterokai bersama anak-anak. Pasti menarik ya!

Sebagai rakyat, menjadi tanggungjawab kita untuk membantu Malaysia menjadi Negara Membaca menjelang 2030. Kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang banyak dalam merealisasikan pembangunan perpustakaan sebagai inisiatif menjadikan rakyat Malaysia sebagai bangsa membaca.

Oleh itu, andai anda lebih selesa dengan bahan bercetak maka ayuhlah berkunjung ke perpustakaan berhampiran rumah. Sebaliknya jika ingin menjimatkan masa, kunjungilah perpustakaan digital untuk maklumat yang benar dan sahih. Yang penting, hidupkanlah budaya ke perpustakaan!

NURHAFIZAH AZIZAN

Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Cawangan Johor