Aspek ini nampaknya belum menyerlah pencapaiannya.Setiap kementerian mempunyai seorang ketua komunikasi korporat sebagai focal point. Peranannya menjadi tunggak serta pemboleh ubah tadbir urus dengan teratur dan sempurna perlu dikemaskan lagi.

Jumlah perjawatan di Bahagian Komunikasi Korporat setiap kementerian perlu ditambah. Peruntukan perlu diberikan bagi mereka menjalankan aktiviti mendampingi rakyat serta promosi dan publisiti setiap kementerian.

Pada masa sama, ketua komunikasi korporat perlu pantas memahami denyut nadi serta co-business serta permasalahan asas yang dihadapi oleh kementerian masing-masing.

Ketua komunikasi korporat tidak perlu mengasingkan diri dan berada dalam dunia sendiri serta menolak pergaulan dan mengelak mendengar permasalahan dan rintihan pelanggan dalaman dan luaran kementerian serta rakyat yang bergantung harap terhadap perkhidmatan awam dan kerajaan.

Mereka perlu tuntas memahami prosedur kewangan serta peraturan yang berkuat kuasa dalam kementerian. Pelanggaran kepada prosedur kewangan dan pentadbiran boleh membawa implikasi buruk antaranya dakwaan tiada integriti.

Dalam aspek hubungan awam dan media, pergantungan kepada media sosial semata-mata adalah tidak mencukupi. Media konvensional seperti akhbar, majalah dan buku masih perlu digunakan untuk rakyat mendapatkan maklumat sahih dan tepat tentang kementerian berkaitan.

TOH TAN DEWASAKTI

Tapah, Perak