Melihat kepada situasi ini, guru mahupun ibu bapa perlulah bekerjasama dalam mendidik generasi sekarang. Budaya terlampau mempercayai anak perlu disemak semula. Di pihak guru pula, peranan besar untuk membantu menangani salah laku pelajar dan atas dasar mendidik, hukuman yang diberikan seharusnya setimpal.

Kementerian Pendidikan telah menetapkan guru besar atau pengetua adalah orang yang bertanggungjawab penuh dalam melaksanakan hukuman terhadap murid. Walau bagaimanapun, kuasa menghukum murid dengan tujuan memberi pengajaran boleh diturunkan kepada guru-guru lain yang berdaftar dan yang dipertanggungjawabkan mestilah mengetahui tatacara ditetapkan.

Walau bagaimanapun, tingkah laku pelajar yang boleh dianggap biadab seolah-olah menggambarkan anak-anak generasi kini sudah hilang adat ketimuran mereka. Tambah malang apabila segelintir daripada mereka gemar menggunakan media sosial sebagai hamparan untuk meluahkan rasa tidak puas hati. Kita lihat pada hari ini banyak sekali video sebagai yang dimuat naik pelajar tanda protes mereka terhadap pendidik yang turut disokong segelintir ibu bapa.

Sesungguhnya bukan senang untuk mendidik anak muda pada hari ini. Dimanjakan salah, dipukul salah. Masyarakat seharusnya faham ruang untuk mendidik anak-anak bukan sahaja terletak di bahu guru mahupun pensyarah, tetapi asas yang kuat datangnya dari rumah. Sama-samalah berganding bahu untuk membentuk akhlak remaja dalam menerajui arus negara moden. Akhlak yang baik pasti melahirkan generasi yang berjaya.

MAZNI MAT ZIN

Pensyarah UiTM