Kerajaan harus memastikan tiada lagi ketirisan atau pembaziran dalam proses perbelanjaan dan penyaluran bantuan kelak. Seperti yang diketahui umum, sudah lama kita didedahkan dengan isu ketirisan dan pembaziran seperti kes pecah amanah, boros serta salah guna kuasa, wang dan harta kerajaan.

Masalah ini bukan sahaja memburukkan imej kerajaan malah menyebabkan segala peruntukan tidak mencapai matlamatnya.

Akhirnya, rakyat yang akan menjadi mangsa. Adalah penting bagi kerajaan sentiasa memantau penyampaian peruntukan serta memantau proses perlaksanaan. Sikap sambil lewa serta tidak ambil tahu tidak boleh lagi wujud dalam kalangan pegawai pelaksana dan penguatkuasa.

Setiap kementerian harus mengambil sikap lebih profesional dalam menggunakan setiap sen peruntukan itu. Setiap proses perbelanjaan perlu didokumenkan dengan teliti dan disimpan dengan baik untuk tujuan penilaian semula.

Menteri bertanggungajwab juga harus sentiasa berhati-hati meluluskan perbelanjaan. Sebarang kegiatan yang mecurigakan atau salah laku melibatkan mana–mana pihak, tanpa mengira pangkat, perlu dilaporkan segera kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Setiap pegawai kerajaan juga harus mengambil maklum sebarang kelemahan yang telah dikenal pasti melalui laporan Jabatan Audit Negara.

Wang peruntukan itu adalah milik rakyat dan harus dijaga dengan penuh amanah serta dibelanjakan dengan baik bagi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

USIM