Ada juga jurunikah mensyaratkan akad nikah dilafazkan dalam satu nafas bahkan ada juga yang hanya akan mengesahkan perkahwinan sekiranya pengantin lelaki melafazkan secara penuh termasuklah berapa jumlah mas kahwin yang dibayar. Lafaz yang panjang serta berjela-jela bukanlah penentu lama atau singkatnya hayat perkahwinan sesebuah rumah tangga.

Merujuk pandangan diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui laman web muftiwp.gov.my, telah menjelaskan tidak disyaratkan satu nafas dalam menjawab lafaz nikah, tetapi syaratnya mesti berturutan iaitu tidak ada pemisahan masa yang lama antara lafaz ijab kabul. Pihak berkenaan juga telah mengesyorkan kepada jurunikah agar memudahkan proses lafaz nikah dan tidak memberatkan apabila telah cukup syaratnya.

Jika pernikahan pasangan Muslim di negara barat menjadi sah hanya dengan lafaz seringkas “I do” atau “I accept”, kenapakah pasangan Islam di negara ini terlalu disulitkan sehinggakan terpaksa diulang sehingga tiga atau lima kali lafaz? Inilah yang perlu dinilai semula oleh pihak berkuasa agama Islam selari dengan era Malaysia baharu yang menekankan falsafah Rahmatan Lil Alamin (rahmat buat seluruh alam). Tinggalkan era lama yang jumud dan menyulitkan.

Saya ingin mengesyorkan agar bayaran sepenuhnya sebanyak RM300 atau RM500 yang dibayar kepada jurunikah hanya boleh dilunaskan sekiranya pernikahan mana-mana pasangan pengantin sah hanya dengan sekali lafaz. Sekiranya pengantin lelaki perlu mengulangi untuk kali kedua, RM100 daripada bayaran tersebut perlulah dipotong dan begitulah seterusnya. Saya yakin jurunikah tidak ingin pulang dengan tangan kosong.

Cadangan ini bukan untuk menghukum jurunikah, tetapi supaya mereka lebih bertanggungjawab, bertindak sebagai pembimbing dan pemudah cara bagi membantu pasangan yang ingin berumah tangga dan bukannya menyusahkan serta mempersendakan mereka di saat ijab kabul.

ANAK JATI

Terengganu