Falsafah kemerdekaan juga harus dilihat sebagai lambang kebebasan kita terus melangkah ke depan di bawah kerangka falsafah ‘Malaysia Baharu’ berasaskan kepada penyatuan jitu masyarakat dan semangat integriti yang dihayati dan diamalkan secara konsisten oleh pemimpin dan rakyat. Falsafah kehidupan masyarakat yang merdeka tidak harus meniru dan mengambil membuta tuli budaya yang boleh menghancurkan sendi-sendi masyarakat kita.

Namun, tidak salah kita meniru budaya yang baik untuk dijadikan nilai tambah dalam kehidupan kita tanpa memusnahkan jati diri bangsa. Inilah yang pernah disebut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa meniru budaya lain bukanlah semestinya salah, namun yang menjadi masalahnya ialah apabila kita meniru membuta tuli tanpa membezakan antara yang baik dan tidak baik.

Kemerdekaan yang kita sambut biar dapat menyedarkan seluruh rakyat agar komited untuk memelihara asas-asas kenegaraan yang telah menjadi identiti negara bangsa kita, termasuk memelihara keharmonian dan perpaduan nasional. Justeru, maksud tema sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-62 iaitu Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih yang menekankan usaha memupuk perpaduan, semangat cintakan negara serta menonjolkan nilai integriti dan jati diri dalam kalangan rakyat Malaysia mesti dihayati dengan penuh kesedaran dan semangat patriotik.

Kebebasan yang dikecapi jangan sampai disalahguna sehingga menjadi perosak kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat. Kebimbangan harus ada dalam diri apabila wujudnya sikap mengutamakan kehendak individu, kaum dan kepartian lebih diutamakan daripada kehendak nasional atau kepentingan awam.

Inilah yang ditekankan oleh tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan kita. Tunku Abdul Rahman sendiri pernah menegaskan bahawa biarlah keamanan yang ingin dicapai itu bukan sekadar keamanan sementara tetapi keamanan yang berpanjangan sepanjang masa.

MOHD AYOP

ABD RAZID

Penganalisis sosiopolitik