Kita sedia maklum bahawa kesedaran sivik seharusnyalah dibudayakan dan di tanam kepada setiap anggota masyarakat semenjak dari kecil lagi, dengan sifat-sifat positif dan nilai-nilai murni terhadap keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

Kesedaran sivik bermakna perasaan bertanggungjawab bukan sahaja terhadap harta sendiri, tetapi juga terhadap harta orang ramai. Konsep ini menjadi penting kerana dalam masyarakat moden harta orang ramai meningkat dan perlu dihargai oleh rakyat demi kepentingan rakyat sendiri.

Sebenarnya dalam memelihara harta orang ramai, kita memelihara kepentingan kita sendiri. Walaupun harta itu tidak berguna kepada kita secara langsung, tetapi kerosakannya akan menambah beban kita. Ini adalah kerana Kerajaan atau pihak kuasa tempatan terpaksa memperbaiki atau menggantikan harta itu dengan menggunakan wang rakyat yang secara langsung atau tidak langsung dikutip daripada kita.

Walaupun tidak semua daripada kita yang membayar cukai, tetapi perbelanjaan yang diperuntukkan oleh Kerajaan bermakna pengurangan perbelanjaan bagi lainlain kemudahan untuk kita semua.

Mungkin kita berpendapat bahawa wang ini sedikit sahaja. Tetapi, jika dijumlahkan kerosakan seluruh negara kerana kurangnya perasaan sivik, nilai harta yang rosak ini boleh meningkat kepada puluhan juta ringgit setahun.

Selain daripada itu, kerosakan itu mengganggu masyarakat. Sebagai contoh, jika sebuah lif dirosakkan, bukan sahaja belanja memperbaikinya perlu dibuat, tetapi juga pengguna-pengguna lif terpaksa turun-naik menggunakan tangga. Bagi mereka yang tua dan yang sakit, banyak masalah akan timbul. Di samping itu, keselesaan dan keindahan juga akan terjejas dan semua penduduk negara ini akan menerima imej yang tidak baik.

Sebaliknya, jika kita mempunyai kesedaran sivik dan cermatdengan harta awam, kita akan membawa manfaat kepada masyarakat, termasuk diri kita sendiri, bangsa dan negara.

Masyarakat yang mempunyai kesedaran sivik akan hidup mulia dan bahagia. Segala urusan kehidupan kita akan menjadi licin dan mudah. Segala kerja akan berjalan dengan baik dan cepat. Dan kita tidak perlu membazirkan masa atau wang.

Dalam ruang-ruang akhbar, kita sering membaca tentang sungutan-sungutan orang ramai kerana tidak mendapat layanan yang baik di pejabat Kerajaan atau di kedai atau di mana sahaja khidmat diberi. Sementara ada di antara sungutan-sungutan ini yang berasas, kita harus ingat bahawa mereka yang cuai ini adalah manusia biasa yang tidak berbeza dengan mereka yang membuat sungutan.

Sebenarnya yang membuat sungutan itu juga mungkin bersikap tidak bertanggungjawab jika dia yang memberi khidmat.

Perkara ini menjadi nyata kepada segolongan kita yang memandu kereta. Walaupun seseorang itu tertib dan berbudi-bahasa, tetapi apabila ia memandu kereta, ia kehilangan kesabaran dan amat marah jika kereta di hadapannya terlambat sedikit.

Sebabnya ialah kita tidak memupuk kesedaran sivik.

Di negara di mana kesedaran sivik kuat, seseorang pemandu kereta bukan sahaja bersabar tetapi sanggup memberi jalan kepada kereta lain. Ini adalah kerana pada kali yang lain pula, ia akan diberi jalan. Dengan itu, memandu kereta tidak menjadi beban, perjalanan menjadi lebih selesa dan kemalangan kurang berlaku. Hasilnya ialah mereka sendiri terpelihara.

Jika kita sedar bahawa soal kesedaran sivik ini bukanlah soal orang lain membetulkan diri mereka tetapi soalnya ialah kita semua sanggup mengakui kesalahan kita dan membetulkan diri kita, maka usaha ke arah meningkatkan kesedaran sivik akan lebih berjaya.

Kesedaran sivik merupakan satu usaha menukar nilai hidup kita atau usaha membentuk sifat yang lebih baik bagi kita. Langkah pertama ialah pengakuan oleh setiap orang daripada kita bahawa kita bersalah dan perlu kita betulkan diri kita.

Jika kita suka menunjukkan jari kepada orang lain dan mendesak mereka membetulkan diri mereka, maka usaha ini akan gagal. Sebabnya ialah mereka yang kita tunjuk itu menunjuk pula kepada orang lain atau kepada diri kita sendiri sebagai pihak yang salah yang mesti membetulkan dirinya dahulu. 


Disebabkan semua pihak menunjuk kepada orang lain dan tidak seorang pun yang mengaku dirinya salah, maka tiada siapa pun yang akan membetulkan dirinya. Maka sudah tentulah usaha untuk membentuk kesedaran sivik ini akan gagal.

Pendapat umum ialah usaha membentuk kesedaran sivik ini perlu dimulakan di masa kecil. Kita sedar bahawa jika sesuatu tabiat yang baik telah dipupuk semasa kecil, ia bukan sahaja lebih mudah diamalkan tetapi adalah juga lebih kekal.

Bagi tujuan ini, kita perlukan penglibatan ibu bapa dan guru-guru secara besar-besaran. Kesedaran sivik tidak boleh diajar dalam bilik darjah sahaja. Ia mesti diajar sepanjang masa.

Ini bermakna ibu bapa dan guru-guru terpaksa mengawasi gerakgeri kanak-kanak di bawah jagaan mereka sepanjang masa. Terdapat banyak harta dan kemudahan awam di sekolah-sekolah yang mesti dijaga dengan baik dan guruguru mestilah menentukan kemudahan-kemudahan tersebut terpelihara.

Sekolah-sekolah yang tidak mengalami kerosakan mencerminkan setakat mana kesedaran sivik telah dipupuk di sekolah-sekolah berkenaan.

Sungguhpun kesedaran sivik boleh menjamin keselesaan hidup kita, fakta-fakta lain perlu juga diambil kira. Pada kebiasaannya, sama ada orang ramai menyambut desakan untuk menjaga harta awam atau tidak bergantung kepada pemeliharaan yang telah dibuat oleh mereka yang ditugaskan untuk memelihara harta awam itu.

Jika sesuatu harta awam itu berada dalam keadaan yang terbiar kerana tidak dijaga dengan baik, maka orang ramai tidak akan menjaganya, walaupun mereka mempunyai kesedaran sivik.

Manusia adalah makhluk yang berakal. Manusia dapat membendung nafsunya jika ia dapat memahami akan sebab sesuatu itu. Jika kita hendak memupuk kesedaran sivik, maka kita harus menerang dan menjelaskan sebabnya kesedaran sivik ini baik bagi diri kita.

Oleh itu adalah penting bagi kita memperkenalkan makna dan maksud kesedaran sivik dan sebab-sebabnya mengapa kesedaran ini penting bagi mewujudkan masyarakat yang berdisiplin dan bahagia.

Pendidikan Sivik yang akan di ajar di sekolah-sekolah bolehlah dianggap sebagai salah satu daripada langkah bagi meningkatkan kesedaran ini. Langkah-langkah yang lain hendaklah menyusulinya supaya sedikit demi sedikit kesedaran sivik menjadi sebahagian daripada peribadi rakyat Malaysia.

Rakyat yang cintakan Negara dan mahukan kesejahteraan bersama amat berharap semua pihak akan memberi perhatian dan sokongan dan bersama-sama berusaha menyumbang serta mempraktikkan kesedaran sivik di kalangan masyarakat demi keutuhan dan kesejahteraan bangsa dan negara.

 

MOHAMMAD RIZAN HASSAN
Setiausaha Agung
Federasi Kebangsaan Pekerja Belia Malaysia