Persoalannya, tidak bolehkah seseorang yang bukan guru memberi tazkirah kepada para pelajar? Bukankah tazkirah itu maksudnya memberi nasihat dan teguran yang baik? Justeru, perlukah mempunyai kelayakan atau sijil tertentu hanya untuk menyampaikan kebaikan?

Sebagai masyarakat prihatin, saya kira wajar bagi kita sama-sama membantu guru dan pihak sekolah untuk mengingatkan anak-anak di sekolah mengikut pengalaman, ilmu dan pengetahuan yang ada. Ada baiknya jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini, cepat-cepat kita mencari jalan penyelesaian. Sekiranya perkara itu serius dan boleh memberi kesan negatif dan memudaratkan, kita tidak perlu tunggu guru atau pihak sekolah untuk memberi nasihat mahupun teguran. Ambillah langkah proaktif. Tidak ada sekolah yang akan menghalang masyarakat membantu mereka.

Justeru, ibu bapa sepatutnya mengucapkan jutaan terima kasih kepada individu yang prihatin dan sanggup menegur anak-anak kita dan bukan bertindak sebaliknya. Walaupun kita kadang-kadang hanya melihat kelakuan baik anak-anak di dalam rumah, namun sikap seperti itu tidak semestinya berlaku di luar rumah. Justeru masyarakat sekeliling lah yang boleh diharapkan untuk turut memantau dan menegur anak-anak jika melakukan perbuatan tidak elok.

Ibu bapa dan penjaga perlulah bersikap lebih terbuka. Usah menghina seseorang dengan melulu hanya kerana pekerjaannya. Selalulah berterima kasih kepada orang lain yang sudi menegur anak-anak kita. Anda sepatutnya lebih takut jika tidak ada sesiapa pun yang sudi lagi menegur kelakuan anak-anak kita yang tidak baik.

NOORITA MOHAMMAD

Segamat, Johor