Pun begitu, ia pasti boleh dilaksanakan asalkan anak-anak bersedia untuk menjalani latihan Rukun Islam ketiga itu. Mungkin tips ini boleh membantu ibu bapa melatih anak-anak berpuasa.

1. Mulakan puasa secara berperingkat. Setiap anak mempunyai kemampuan rohani dan jasmani yang berbeza. Seandainya pada hari pertama si cilik hanya mampu berpuasa sehingga pukul 11 pagi, maka pada hari kedua, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak berbuka lewat sedikit daripada hari pertama.

Fahami mereka serta berilah sedikit kelonggaran. Selain itu, ibu bapa haruslah sentiasa berkongsi tujuan kenapa umat Islam wajib berpuasa sepanjang bulan Ramadan agar mereka tidak rasa terbeban.

2. Berikan penghargaan kepada anak. Tunjukkan rasa bangga andai anak berjaya berpuasa walaupun hanya selama dua atau tiga jam sehari. Tentu anak-anak akan berasa lebih bersemangat untuk terus berpuasa.

3. Menyediakan juadah kegemaran mereka ketika bersahur dan berbuka. Sediakanlah menu bersahur yang mampu mengenyangkan serta air kosong secukupnya. Selain itu, menu makanan yang menarik serta berwarna-warni boleh menarik minat anak anda. Di samping itu pastikan anak mendapat rehat yang cukup serta tidur awal supaya mudah untuk bangun bersahur.

4. Mencipta suasana puasa yang tenang serta mendamaikan. Asuh mereka untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan amalan membaca al-Quran, menonton cerita kanak-kanak bersama-sama, membaca buku cerita dan lain-lain aktiviti yang ringkas namun menyeronokkan.

5. Tunjukkan teladan yang baik dan mampu diikuti oleh anak-anak. Ceritakanlah apa yang anda telah lakukan semasa kecil sepanjang Ramadan. Bukan sahaja mampu memberi semangat kepada anak-anak malah akan mendidik mereka untuk mentaati anda.

Setiap tips yang dinyatakan hanyalah sekadar panduan. Dalam melatih anak-anak untuk berpuasa, kesediaan anak-anak itu sendiri perlu diberi perhatian. Sama-samalah kita tegakkan syiar Islam ini berpandukan peribahasa jika ingin melentur buluh biarlah dari rebungnya.

DR. ZAKIAH MOHD. YUSOFF

Pensyarah Kanan UiTM