Pun begitu, tema Hari Kebangsaan 2018 yang lalu iaitu Sayangi Malaysiaku didapati tidaklah jauh berbeza dengan tema tahun ini. Jika difikirkan, setelah setahun berlalu, sejauh manakah pemahaman dan penghayatan kita terhadap tema tersebut? Apakah cukup dengan hanya melaungkan slogan Hari Kebangsaan setahun sekali? Bolehkah ia menjadi kayu ukur untuk membuktikan kasih sayang kita terhadap tanah air yang satu ini?

Sama-samalah kita renungi kasih sayang yang ingin kita capai jika kita secara terus-terusan bertelagah sesama sendiri. Dapat kita lihat dengan jelas kebelakangan ini, pelbagai isu tular dalam media sosial yang kebanyakannya memainkan sentimen perkauman.

Terdapat juga pelbagai kenyataan dan artikel yang dikongsikan netizen telah dipetik sewenang-wenangnya tanpa diselidik kesahihannya. Malah kemunculan golongan yang digelar keyboard warrior dilihat sengaja menimbulkan pertengkaran, tuduh-menuduh dengan kata-kata kurang sopan di laman sosial turut mengeruhkan lagi keadaan. Sikap, perasaan benci dan saling tidak mempercayai sesama sendiri di alam maya itu jugalah yang terkadang terbawa-bawa hingga ke alam nyata.

Golongan silent readers di media sosial juga perlu berhati-hati kerana walaupun tidak terlibat menyebarkan kenyataan berunsur kontroversi, namun dengan hanya satu klik kongsi atau suka, apa betulkah emosi kita tidak terganggu dengan pelbagai komen yang mampu memecah-belah keharmonian negara?

Bersempena bulan kebangsaan ini, marilah kita sama-sama menghayati tema Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih sambil memikirkan sumbangan yang boleh kita berikan untuk kebaikan tanah air. Tiada siapa yang akan menyayangi Malaysia melainkan kita sendiri sebagai rakyat kerana negara ini dipunyai oleh kita semua. Marilah kita kekalkan apa sahaja yang kita nikmati hari ini.

PROFESOR MADYA

DR. CHENG JACK KIE

Universiti Malaysia Pahang