Walau bagaimanapun, seringkali musim buah-buahan dikaitkan dengan demam, batuk dan selesema. Adakah makan buah terlalu banyak boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan?

Meskipun tidak diketahui kebenarannya, namun itulah yang dipercayai oleh semua. Terdapat pelbagai petua turun temurun daripada orang tua dan pantang larang apabila makan buah-buahan tempatan. Contohnya bagi mengelakkan badan menjadi panas, setelah makan durian, minumlah air daripada pangsa buah tersebut. Selain itu, ada juga yang menyarankan makan manggis selepas menikmati durian kerana boleh menyejukkan badan.

Rambutan juga tidak terkecuali. Ia dikatakan penyebab batuk. Oleh kerana itu, ada yang menyarankan potong isi buah rambutan dengan pisau dahulu dan tidak makan dengan kulit yang melekat pada biji. Kulit pada biji rambutan akan menyebabkan luka dan calar di kerongkong. Itulah punca batuk menyerang.

Selain itu, anda juga perlu berhati-hati apabila makan buah-buahan. Ia mempunyai kandungan gula yang tinggi. Walaupun ada pendapat mengatakan gula daripada buah-buahan tidak berbahaya, namun jika diambil secara berlebihan pasti akan juga mendatangkan mudarat. Kandungan gula tinggi di dalam badan adalah berbahaya kepada pesakit diabetis dan mereka yang obesiti.

Oleh itu, berpada-padalah apabila makan buah-buahan. Lagipun memang tidak digalakkan untuk makan sesuatu secara berlebihan kerana boleh memudaratkan badan.

Makanlah pada kadar yang disyorkan. Ia perlu diseimbangkan dengan makanan daripada jenis yang lain juga supaya bekalan tenaga ke badan turut seimbang.

AZLINA JUMADI

Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Kampus Segamat