CAPTION

Cerita ini berlatarbelakangkan Pride’s Land yang merupakan sebuah kawasan seperti negara dihuni oleh kawanan singa. Ia seakan-akan sama dengan negara kita yang telah didiami sejak turun-temurun oleh bangsa Melayu sehinggalah negara ini digelar Tanah Melayu atau nama Inggerisnya Malay Land iaitu Malaysia. Watak yang mendukungi Pride’s Land juga mempunyai banyak persamaan dengan watak-watak penduduk di Malay Land.

Watak pertama adalah Mufasa yang merupakan raja singa. Mufasa adalah raja yang adil dan disanjungi rakyat. Pemerintahan yang dijalankan adalah berdasarkan prinsip kitaran hidup yang mana penduduknya mempunyai peranan masing-masing. Walaupun kadang-kadang ia kelihatan seperti tidak adil, namun ia perlu untuk terus seimbangkan ekosistem.

Antara perkara yang kelihatan tidak adil adalah apabila singa diberi banyak keistimewaan dalam pemerintahan di Pride’s Land. Hal yang sama jugalah kita dapati di negara kita bukan? Terdapat keistimewaan tertentu yang diberikan kepada bangsa Melayu dan bumiputera di Tanah Melayu.

Watak kedua adalah Hyena iaitu kaum yang boleh dilabel seperti talam dua muka. Ia seperti bangsa komunis yang sentiasa tidak berpuas hati dengan kaum Melayu dan bumiputera. Walaupun telah diberikan pelbagai kebebasan dan keistimewaan, mereka tetap inginkan keistimewaan sama seperti bangsa Melayu.

Watak ketiga adalah Scar iaitu pemimpin yang bersifat seperti tali barut. Watak ini dilihat sama seperti sesetengah pemimpin Melayu yang bersifat khianat. Ada yang sanggup berkomplot dengan komunis untuk menjatuhkan kerajaan daripada bangsanya sendiri.

Watak keempat adalah Pumbaa iaitu babi yang hidupnya adalah untuk bersuka ria tanpa memikirkan masalah agama dan bangsa. Falsafah hidupnya ialah Hakuna Matata iaitu gaya hidup yang bebas melakukan apa-apa sahaja. Ia sama seperti golongan liberal yang mengamalkan gaya hidup bebas.

Watak kelima adalah Simba seekor anak singa yang hilang arah tuju. Ia telah lupa asal usul selepas berkawan dengan babi. Malah falsafah Hakuna Matata pula menjadi ikutan. Anak singa ini tidak berani mempertahankan kepercayaannya saat ditertawakan oleh babi dan kawan-kawannya. Watak ini saling tidak tumpah dengan anak Melayu yang sudah hilang arah tuju. Selepas tiada lagi keseimbangan ekosistem di Pride’s Land, maka barulah semua tersedar. Akhirnya Simba kembali mengambil alih takhta daripada Scar.

Marilah kita bersama-sama mengambil pengajaran daripada filem ini dan turut sama bekerja keras dan berdoa agar tanah Melayu ini tidak akan menerima nasib malang seperti yang dialami oleh Pride’s Land itu.

SARBANI DAUD

Universiti Malaysia Pahang