Sebaliknya di Malaysia, kita tidak mempunyai satu prinsip yang boleh diikuti sebagai satu identiti.

Dalam menuju kemerdekaan ke-62, negara kita masih lagi berbicara tentang isuidentiti kerana sehingga kini kita tidak pernah mempunyaisatu identiti yang jelas yang boleh dipegang oleh rakyat Malaysia.

AIMAN WAN ALIAS
AIMAN WAN ALIAS 

Perkara ini menjadi lebih parah apabila ada sesetengah parti politik menggunakan agama dan kaum sebagai naratif utama dalam memperoleh undi kaum majoriti.

Dalam penulisan ini, kita tidak akan berbicara tentang apa yang dilakukan oleh parti tersebut tetapi kita akan berbicara tentang apakah langkah yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia dalam mewujudkan kembali identiti kebangsaan walaupun kita tidak pernah mempunyai identiti kebangsaan yang jelas.

Kerajaan Malaysia telah berusaha sebaik mungkin dalam memastikan negara tercinta ini mempunyai satu identiti kebangsaan seperti mewujudkan Rukun Negara sebagai asas kepada identiti rakyat Malaysia tetapi usaha ini boleh dikatakan gagal sepenuhnya.

Selain itu, kerajaan telah menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dalam usaha melahirkan satu rumpun bangsa yang berkomunikasi dengan satu bahasa tetapi usaha ini juga boleh dikatakan gagal kerana kebanyakansyarikat-syarikat besar di Malaysia menggunakan berlainan bahasa dalam komunikasi.

Apakah punca kepada kegagalan kepada usaha-usaha tersebut? Jika kita mengatakan ia sesuatu yang mustahil untuk rakyat Malaysia memartabatkan Bahasa Kebangsaan dan mempunyai satu identiti bagaimana Indonesia dapat melakukannya yang bangga dengan identiti mereka iaitu Bangsa Indonesia. Maka apa yang membezakan Malaysia dan Indonesia dalam usaha ini?

Penulis mengakui bahawa Indonesia telah berjaya mewujudkan satu identiti bangsa dengan berbekalkan dua hujah iaitu semua rakyat Indonesia memegang satu rukun yang sama iaitu Pancasila dan penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa utama dalam pertuturan.

Antara langkah-langkah yang dilakukan oleh Indonesia adalah dengan mewujudkan satu aliran sekolah kebangsaan.supaya pergaulan antara kaum dapat dilakukan dengan efektif dan setiap rakyat Indonesia melalui sistem pendidikan yang sama dan akhirnya akan memberi kesan positif kepada integrasi antara kaum seperti apa yang berlaku sekarang. Rakyatnya tidak kira berbangsa melayu atau cina fasih bertutur bahasa Indonesia.

Apa yang membezakan Pancasila dengan Rukun Negara adalah Pancasila dibentuk dan dibina semasa pembentukan negara Indonesia manakala Rukun Negara diwujudkan disebabkan peristiwa hitam iaitu 13 Mei 1969.

Maka boleh dikatakan di sini bahawa rakyat Malaysia tidak merasai akan keperluan Rukun Negara kerana ia diwujudkan selepas tempoh pembentukan negara dan akhirnya hanya menjadi perkara yang perlu dipenuhi dan sekadar hiasan di kulit buku nota sekolah.

Penulis berpendapat bahawa antara punca lain adalah disebabkan sifat kebaratan golongan bangsawan di Malaysia seperti ahli-ahli politik dan kerabat diraja dalam pertuturan seharian yang lebih gemar berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Malaysia.

Penulis tidak mempunyai data yang kukuh yang menunjukkan peratusan penggunaan bahasa Malaysia dalam pertuturan seharian tetapi berdasarkan pertanyaan dan pemerhatian penulis terhadap sosial media kerabat diraja dan ahli politik, boleh dikatakan penggunaan bahasa Malaysia di sosial media hanya 30 peratus-40 peratus sahaja dalam sehari (pengiran ini dibuat sendiri oleh penulis sebagai mahasiswa ekonomi di Universiti Malaya).

Tetapi berbeza dengan golongan atasan di Indonesia, mereka sering menggunakan bahasa Indonesia dalam perbualan seharian melainkan melibatkan orang luar. Perkara ini membawa sentimen kepada rakyat Indonesia bahawabetapa penting penggunaanbahasa Indonesia dalam dunia koporat berbanding bahasa-bahasa luar dan ia juga memudahkan interaksi antara golongan atasan dengan golongan pertengahan dan bawahan. Hal ini secara tidak langsung mengangkat martabat bahasa Indonesia dinegara mereka.

Pembentukan satu identiti perlu difokuskan oleh semua pihak kerana ia menyumbang kepada kestabilan sosial dan politik. Kepentingan kestabilan sosial adalah ia akan memastikan pembangunan dapat memberi kesan dan manfaat kepada semua lapisan masyarakat manakala kestabilan politik pula dapat dicapai melalui pembentukan identiti kebangsaan.

Parti-parti politik akan lebih memfokuskan kepada pertembungan ideologi berbanding pertembungan antara kaum. Sebagai contoh di negara Eropah seperti United Kingdom dan Jerman, kewujudan parti-parti politik lebih berasaskan kepada solusi yang ingin dibawa kepada negara dan bukan permainan sentimen kaum semata-mata.

Justeru, dengan adanya satu identiti kebangsaan ini rakyat Malaysiadapat mengetepikan segala perbezaan dan seterusnya penyatuan akan dapat dilaksanakan dengan memanfaatkan segala sumber yang ada untuk mencapai objektif kebangsaan yang telah ditetapkan.

Apakah kita sudah terlambat dalam mencapai cita-cita ini? Penulis berpendapat Malaysia masih ada peluang dalam membentuk dan menjayakan usaha ini.

Langkah pertama yang boleh dilakukan adalah penghapusan polisi berdasarkan kaum terutama melibatkan ekonomi dan pendidikan. Polisi yang berasaskan kaum ini sering digunakan sebagai senjata politik.

Perkara yang perlu diberikan fokus adalah polisi berasaskan keperluan seperti kuota kemasukan matrikulasi dan universiti awam sebanyak 80 peratus kepada B40 dan 20 peratus kepada golongan M40. Bantuan mestilah disalurkan kepada golongan yang lebih memerlukan bukan berasaskan ‘anda kaum mana’.

Pembentukan sekolah wawasan mesti dijalankan dengan segera. Sektor pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk satu bangsa bertepatan dengan pepatah‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Semua rakyat Malaysia mesti melalui satu sistem pendidikan yang sama untuk memperkukuhkan integrasi antara kaum dan pemahaman antara kaum dapat dipupuk pada usia muda.

Malaysia amat memerlukan satu tiang yang kukuh dalam membina sebuah negara yang aman dan makmur maka penambahbaikan Rukun Negara hendaklah dilakukan agar ia lebih menyeluruh dan mengambil kira semua aspek dari pelbagai kaum di Malaysia.

Penulis berpendapat bahawa salah satu perkara yang perlu digubal dalam Rukun Negara adalah perkara pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan kerana terdapat unsur diskriminasi kepada golongan yang tidak beragama di Malaysia.

Kesimpulannya, gerakan kearah pembinaan satu identiti kebangsaan secara menyeluruh perlu dijalankan dengan segera kerana negara berdaulat memerlukan satu identiti yang utuh dalam memastikan semua rakyat bergerak bersama.

Selamat Hari Kemerdekaan Wahai Malaysia,

AIMAN WAN ALIAS
Anak Malaysia

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.