Mereka langsung tidak sopan terhadap pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan. Bagaikan ada isu dalaman yang menjadi punca timbulnya semua ini. Mungkin melibatkan isu pembahagian tugas yang tidak seragam atau kekurangan tenaga kerja sehingga memberi tekanan kepada kakitangan sedia ada atau mungkin juga disebabkan masalah kewangan yang mereka hadapi.

Namun apa jua puncanya, itu bukanlah alasan untuk mereka bersikap kasar kepada pesakit yang mengunjungi HKL terutama warga tua sebaliknya mereka perlu memberikan khidmat yang terbaik seperti yang diamanahkan oleh pihak hospital dan Kementerian Kesihatan.

Pihak pengurusan HKL pula perlu mengambil perhatian tentang isu ini sebelum keadaan menjadi lebih parah. Ini soal adab dan sopan santun yang tidak boleh dijual beli. Setiap pelanggan yang datang untuk mendapatkan khidmat di HKL berhak dihormati.

Ada dalam kalangan warga emas yang datang ke HKL kurang arif mengenai prosedur pendaftaran sebelum mendapatkan rawatan. Di sinilah kesabaran para petugas kaunter hadapan HKL amat diharapkan untuk memberi penerangan yang jelas dengan penuh rasa hormat kepada pesakit dan bukannya mengherdik atau melemparkan kata-kata sinis.

Terfikir juga saya mungkin petugas-petugas kaunter hadapan HKL yang berdarah pendekar ini tersalah pilih pekerjaan. Alangkah baiknya jika mereka bekerja sebagai tentera, polis atau badan penguat kuasa yang lain.

Oleh itu saya mengharapkan HKL dan Kementerian Kesihatan mengambil perhatian serius tentang isu ini agar pesakit-pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di hospital tidak lagi menjadi mangsa herdikan petugas-petugas yang bengis ini.

 

ADAM HAFIZZ

Setapak, Kuala Lumpur