Berdasarkan kenyataan tersebut, Putra dengan ini mengambil pendirian awal bahawa keputusan merobohkan struktur ‘Buku’ berkenaan merupakan satu keputusan yang melibatkan sensitiviti umum khususnya orang Melayu dan keputusan untuk merobohkannya secara tiba-tiba di waktu suasana politik negara tidak menentu boleh mengundang pelbagai persepsi buruk.

DBP adalah agensi yang ditubuhkan khusus untuk menjaga bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di bawah Perkara 152 Perlembagaan. Jadi tidak hairanlah bahawa atas kaitan ini menjadikan Putra turut tersentak dengan keputusan yang di lihat secara tiba-tiba untuk meruntuhkan struktur ibarat tanjak kepada maruah orang Melayu pada bangunan berkenaan.

Putra faham dan juga tidak akan berkompromi dengan faktor keselamatan kalau ia benar tapi Putra juga sangsi mengapa hanya pada hari ini struktur buku berkenaan tiba-tiba jadi tak selamat?

Putra pasti segala komponen termasuk buku berkenaan yang menjadi sebahagian komponen bumbung bangunan berkenaan telah direka bentuk oleh jurutera struktur profesional berdasarkan piawai yang dibenarkan dan dibina berdasarkan spesifikasi yang betul sebelum diterima pakai oleh DBP pada peringkat permulaan pembinaannya dahulu.

Putra juga pasti bahawa pembangunan keseluruhan bangunan berkenaan telah mendapat kelulusan dari pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di peringkat pelan bangunan, pelan kejuruteraan sehinggalah Sijil Layak Menduduki (Certificate of Fitness) dikeluarkan oleh pihak DBKL sendiri.

Putra juga yakin reka bentuk Buku tersebut bersekali dengan reka bentuk keseluruhan bangunan DBP berkenaan dan bukan komponen asing yang diangkat letak di atas bangunan tersebut dan logiknya bila JKR sahkan buku tersebut tak selamat seolah-olah keseluruhan bangunan tersebut juga mungkin tak selamat.

Putra juga yakin struktur asas ‘buku’ tersebut diperbuat daripada besi yang semestinya kukuh sama seperti bangunan-bangunan kerajaan tetapi Putra sangsi hanya kenapa bumbung bangunan DBP sampai kena dirobohkan tetapi bangunan-bangunan kerajaan yang lain yang lagi daif hanya dibuat penyelenggaraan?

Putra seterusnya menggesa agar pihak pakar JKR yang mengesahkan komponen-komponen buku yang merupakan sebahagian komponen bumbung bangunan DBP menyiarkan kepada umum laporan di mana-mana platform yang boleh dicapai oleh pihak ketiga berkenaan laporan kekuatan struktur (dilapidation report), gambar-gambar dan segala dokumen yang menyebabkan JKR mengambil keputusan mengesyorkan peruntuhan struktur buku berkenaan untuk Putra dan pihak-pihak lain mendapat pandangan kedua daripada pakar jurutera yang bertauliah dan bebas.

Putra juga memohon untuk siarkan secara rasmi oleh JKR bagaimana rupa bentuk bangunan DBP berkenaan selepas modifikasi buku yang dicadangkan. Elemen berkenaan sensitif pada rakyat terutamanya kepada orang Melayu dan sewajarnya perobohan struktur buku berkenaan harus diganti dengan juga dengan struktur buku yang baharu dan yang mungkin lebih moden dan menarik.

JKR yang merupakan jabatan teknikal yang tanggungjawab atas keputusan perobohan ini harus tampil memberikan penerangan terpeinci berkaitan kesan-kesan perobohan, penggunaan bangunan semasa perobohan, kos perubahan berbanding kos pembaikan, implikasi insuran bangunan, tahap gangguan kekuatan struktur akibat aktiviti perobohan di aras bumbung dan sebagainya.

Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz
Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra)

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.