Saya merupakan bekas pelatih PLKN pada 2017 merasakan amat terkilan dengan keputusan-keputusan kerajaan PH pada hari ini terutamanya yang berkaitan kepentingan rakyat.

Adalah agak menghairankan PLKN tiba-tiba diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sedangkan sebelum ini program tersebut diselia oleh Kementerian Pertahanan sejak ditubuhkan.

Bahkan berpuluh-puluh juta ringgit dibelanjakan selama 17 tahun oleh kerajaan untuk membentuk golongan belia ke arah yang lebih baik.

Selain itu, pada pendapat saya, pelatih-pelatih PLKN boleh diserap masuk ke dalam unit tentera simpanan dari cabang darat (Rejimen Askar Wataniah), laut (Pasukan Simpanan Tentera Laut) dan udara (Pasukan Simpanan Tentera Udara).

Tidak kira untuk lelaki mahupun wanita, mereka juga boleh diserap ke pasukan beruniform lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Dari situ kita boleh melihat kesinambungan dan kejayaan PLKN.

Bukan terus dimansuhkan atas alasan sebahagian manifesto PH semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Ini amat mengecewakan.

TRENT KOCH

Kuala Lumpur.