Sekolah itu bagi kami adalah sekolah istimewa kerana dua sebab, pertama kerana ia mempunyai hanya 138 orang pelajar dan kedua, lebih daripada 25 peratus pelajarnya datang dari kategori B40.

Tujuan kami ke sekolah itu adalah untuk menyampaikan cek bagi program sarapan sekolah itu dan kami berkesempatan juga berbual panjang dengan guru dan pengetua sekolah.

Sambil makan bihun goreng dan minum kopi segera, mereka memberitahu kami meskipun sekolah itu terletak di kawasan bandar, ramai pelajar datang daripada keluarga miskin. Ibu bapa mereka melakukan pelbagai kerja untuk kelangsungan hidup dan ada yang mempunyai 12 adik-beradik.

Ada pelajar sesi tengah hari yang sudah ada di sekolah sejak pagi kerana kedua-dua ayah dan ibu bekerja. Ada yang duduk di kantin sementara menunggu kelas bermula atau berlegar-legar di kawasan sekolah. Ada juga pelajar yang menangis di dalam kelas, kelaparan kerana belum makan pagi.

Malah ada pelajar yang tidak mandi apabila ke sekolah atau mendandan diri. Terpulang kepada guru untuk menyuruh mereka mandi.

Salah seorang daripada guru sekolah memberitahu kami tentang kisah dua beradik, berumur sembilan dan 10 tahun yang buat pertama kalinya ke sekolah. Urusan persekolahan dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka berdua lewat mendaftar kerana keluarga mereka terlalu miskin dan menghantar anak ke sekolah bukan satu keutamaan.

Berat betul hati saya untuk melangkah meninggalkan sekolah itu. Rakan wartawan saya sempat bertanya kepada seorang kakitangan sekolah sama ada pihak sekolah menggunakan platform media sosial seperti Facebook atau Instagram bagi mendapatkan bekas pelajar yang berkemampuan untuk membantu sekolah berkenaan.

Ketua saya turut bertanya sama ada Kementerian Pendidikan ada menawarkan sebarang bantuan untuk pelajar-pelajar miskin. Guru besar memberitahu kami setiap bulan, pihak sekolah akan menghantar laporan ke pejabat pendidikan daerah mengenai kegiatan sekolah, “ tapi boleh katakan tak ada apa-apa tindakan untuk membantu kanak-kanak miskin ini.”

Saya memanglah kagum dengan sistem pendidikan dan kesihatan negara yang kini dapat dinikmati juga penduduk di luar bandar. Cuma yang terkilan, sekolah rendah di Klang ini bukan satu-satunya sekolah yang mempunyai pelajar miskin kerana ada sekolah lain yang mempunyai masalah yang sama.

Saya berpendapat Kementerian Pendidikan perlu mengadakan perjumpaan dengan guru besar dan guru untuk merangka satu mekanisme bagi menangani isu kemiskinan ini yang bagi saya, lebih berbahaya daripada kanser.

Kementerian berkenaan juga boleh menjalankan kajian di seluruh negara untuk menentukan isu yang menekan pelajar kategori B40. Kajian ini boleh memberi memberi jawapan berapa ramai pelajar yang terjejas akibat kemiskinan.

Apabila sekolah yang terjejas dimaklumkan hasil dapatan kajian, pihak sekolah akan bersedia untuk berdepan dengan cabaran yang menghimpit kehidupan pelajar serta ibu bapa mereka. Guru yang bertanggungjawab terhadap pelajar-pelajar itu, terutamanya mereka yang menjaga hal ehwal pelajar, perlu dilatih untuk mengendalikan perkara ini.

Program latihan untuk mereka perlu meliputi unsur seperti mendapatkan sokongan penaja untuk sekolah daripada komuniti berhampiran di samping bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pihak sekolah juga boleh menggunakan media sosial untuk mendapatkan sokongan bekas pelajar yang berkemampuan dan menggunakan sepenuhnya program yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan serta berganding bahu dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Laman sesawang Kementerian Pendidikan The MOE’s website www.moe.gov.my/index.php/pra-sekolah/jenis-bantuan menunjukkan pelbagai skim sokongan yang ditawarkan kementerian. Apabila guru sudah dilatih, mereka boleh menggerakkan sumber mereka untuk menangani isu kemiskinan ini. Pada masa ini, isu ini dikendalikan oleh seorang guru dan isu ini akan menjadi terpinggir jika guru berkenaan semakin kurang minat untuk menangani isu ini.

Jabatan Kebajikan Masyarakat mesti juga mempunyai data pelajar B40 supaya ia dapat membantu menangani keperluan pelajar miskin.

Kerajaan kita mempunyai sistem khidmat masyarakat yang bagus dan sudah tentu kita tidak mahu pelajar miskin ketinggalan daripada mendapat manfaatnya. Pelajar yang terpinggir nescaya tidak akan beroleh apa-apa dalam hidup mereka.

Kita sudah cukup mempunyai ramai samseng, Mat Rempit dan Ah Long yang banyak mencetuskan pelbagai masalah dalam hidup kita. Kita tidak boleh membiarkan anak-anak muda kita menjadi liar, tanpa arah tujuan.

Setiap kes pelajar ini perlu dikendalikan dengan sebaik-baiknya bagi mencegah mereka daripada terlibat dengan anasir anti-sosial dan akhirnya merengkok di dalam penjara.

Saya fikir banyak sekolah yang memerlukan pendekatan holistik untuk menangani isu B40. Tidak seorang pun kanak-kanak wajar dipinggirkan daripada mendapat pendidikan di negara ini. Kita juga tidak boleh membiarkan mana-mana anak tidak ke sekolah kerana kemiskinan.

Ahli falsafah Greek Aristotle pernah berkata: “Kemiskinan adalah ibu revolusi dan jenayah.” Dan Mahatma Gandhi, yang mengetuai pergerakan kemerdekaan India menentang pemerintahan British berkata “Kemiskinan adalah bentuk keganasan yang paling teruk.” - BERNAMA

Penulis Ravindran Raman Kutty adalah pengamal komunikasi dan felo Institut Perhubungan Awam Malaysia.

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis)